Syabas USIM! Teruskan tradisi Ramadan! 2,400 pek bubur lambuk untuk komuniti, anggota keselamatan!
Published byBermula daripada hanya satu periuk bubur lambuk pada 2013 yang dimasak secara bergotong royong untuk berkongsi rezeki kepada warga kampus sempena bulan Ramadan oleh Pusat Sukan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), kini komuniti sekitar universiti turut dapat merasai air tangan warga USIM ini sebagai juadah berbuka puasa.
Sebanyak 2,400 pek bubur lambuk berjaya disediakan oleh Pusat Sukan pada 3 April 2024 sempena Program Edaran Bubur Lambuk Komuniti USIM untuk diagihkan kepada komuniti, surau dan anggota beruniform yang berada di sekitar Nilai serta kakitangan dan pelajar USIM.
"Bermula secara kecil-kecilan daripada satu periuk pada tahun pertama, menjadi empat periuk besar pada tahun ini. Kos kewangan sekitar RM4,000 bagi penyediaan bubur lambuk ini adalah sumbangan daripada pelbagai pihak dari dalam dan luar universiti.
"Kita menerima banyak permintaan untuk menyumbang tetapi terpaksa menolak kerana perlu beri pertimbangan kepada kekangan logistik, tenaga kerja dan masa penyediaan".
"Tahun ini kita turut berjaya menyediakan satu periuk bubur pulut hitam untuk diagihkan bersama bubur lambuk. Seramai 100 orang sukarelawan dalam kalangan staf dan pelajar bergotong-royong selama dua hari iaitu pada 2 dan 3 April 2024 untuk menyediakan bubur lambuk".
"Agihan kepada komuniti kita aturkan melalui persatuan penduduk dan jawatankuasa surau berdekatan kampus antaranya Desa Jati, Taman Anggerik dan Desa Kolej. Anggota beruniform di Balai Polis dan Balai Bomba Cawangan Nilai juga turut kita agihkan.
"Insya-Allah tahun depan (2025) kami sasarkan untuk meningkatkan lagi kuantiti bubur lambuk agar lebih besar komuniti yang dapat merasainya " tambahnya lagi.
Program Gotong Royong dan Edaran Bubur Lambuk Komuniti USIM 2024 kali ini mendapat sambutan dan kerjasama daripada Pusat Hal Ehwal Pelajar, Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah, Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti, Koperasi Kakitangan USIM, Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS) USIM, Urus Setia Sukan Rekreasi Pelajar dan Majlis Perwakilan Pelajar USIM.
Turut bersama menjayakannya adalah KRT Surau Ar Raudah Desa Jati, Yakult, Extrajoss dan Nuaim Corporation.
Sementara itu, bersempena agihan bubur lambuk ini kepada warga kampus di Kompleks Sukan Tunku Najihah, turut dilancarkan Kempen Keselamatan Lalu lintas dan Keselamatan Balik Kampung sempena Hari Raya Aidilfitri oleh Naib Canselor, Profesor Dato' Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani.
Sebagai simbolik kempen anjuran bersama Pusat Pematuhan Syariah, Integriti, Pengurusan Risiko dan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (SCIROSH), Jabatan Keselamatan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ini adalah turut diedarkan topi keledar percuma. - KitaReporters