Hanya beberapa bulan dibentuk, pasukan frisbee SMK Munshi Ibrahim mampu memberi saingan dalam pertandingan  Johor Youth Ultimate Open 2024 pada 22 dan 23 Jun 2024 lalu.


Nur Hasnina Nawawi (berdiri kiri) bersama pemain pasukan frisbee SMK Munshi Ibrahim Labis, Johor selepas acara penyampaian hadiah. 


Kerja keras seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Ibrahim Labis, Johor selama lebih dua bulan membentuk pasukan Frisbee bagi menyertai pertandingan Johor Youth Ultimate Open 2024 peringkat kebangsaan anjuran Johor Ultimate Youth Open berbaloi selepas anak didiknya berjaya meraih tempat kedua kategori Bawah 17 tahun (B-17) Pool C  pertandingan tersebut di Batu Pahat pada 22 dan 23 Jun 2024 lalu.

Pengurus  yang juga merupakan jurulatih pasukan, Nur Hasnina Nawawi menzahir penghargaan kepada 14 pemainnya yang membayar kepercayaan yang diberi dengan kejayaan tersebut biar pun gagal mengunguli tempat pertama selain menunjukkan semangat juang tinggi biar pun hakikatnya mereka tidak mempunyai pengalaman menyertai sebarang pertandingan sebelum ini.

"Sebenarnya banyak cabaran untuk membentuk pasukan ini memandangkan permainan ini bukan sahaja  tidak begitu popular dan agak asing dalam kalangan masyarakat setempat berbanding sukan lain seperti bola sepak, malah pelajar yang terpilih juga mengakui mereka tidak pernaah mengenali permainan tersebut sebelum ini.

Nur Hasnina Nawawi (dua dari kiri) menerima sumbangan daripada wakil PKJPM Stesen Labis, johor bagi menampung sebahagian kos menyertai pertandingan  Johor Youth Ultimate Open 2024 di Batu Pahat, Johor.


"Tidak ramai pelajar yang berminat untuk menyertai pasukan ini menyebabkan saya tidak mempunyai banyak pilihan, selain  pemain yang dipilih menyertai pasukan turut terlibat dengan permainan serta acara sukan lain menyebabkan persiapan agak terganggu," katanya. 

Menurut Hasnina lagi, selain kekangan kurang mendapat sambutan, masalah dana juga antara cabaran besar kepadanya untuk menyediakan keperluan pasukan untuk kos jersi, yuran penyertaan, pengangkutan, tempat tinggal dan makanan semasa pertandingan.

Dalam masa sama, Nur Hasnina turut merakamkan terima kasih kepada semua yang membantu terutama pentadbiran sekolah, unit kokurikulum serta pengerusi Pertubuhan Kebajikan Jiwa Prihatin Malaysia (PKJPM), Tan Lek Khang yang bermurah hati menaja jersi pasukan serta menghulurkan wang tunai bagi menampung sebahagian kos menyertai pertandingan tersebut.

Antara pemain pasukan Frisbee SMK Munshi Ibrahim Labis, Johor yang menunjukan prestasi terbaik ketika menyertai pertandingan Johor Youth Ultimate Open 2024 yang lalu.


"Memandangkan pemain sedia ada berusia 14 dan 15 tahun, saya yakin jika mendapat latihan serta pendedahan mereka mempunyai masa dua tahun untuk keluar sebagai pasukan yang mampu mencabar di Pool B dan seterusnya Pool A nanti," katanya.

Selain itu, dia juga yakin dua lagi rakan gurunya yang turut sama dalam usaha membentuk pasukan tersebut iaitu Nur Shaliza MD. Salim dan Muhammad Amir Ihsan Mohd Amran turut menyimpan hasrat untuk melihat pasukan yang baharu diwujudkan selama hampir tiga bulan itu melangkah lebih jauh pada masa akan datang. 

Sehubungan itu Nur Hasnina bercadang untuk mencari seorang jurulatih berkelayakan bagi membimbing pemain selain merangka jadual latihan berterusan bagi memastikan prestasi pemain dapat ditingkatkan bagi menghadapi pertandingan tahun hadapan (2025).

Pemain pasukan Frisbee SMK Munshi Ibrahim Labis, Johor yang berusia 14 dan 15 tahun masih mempunyai potensi untuk mencapai keputusan yang lebih baik pada pertandingan  akan datang.


"Mungkin kejayaan mendapat tempat kedua ini tidak begitu besar bagi sesetengah pihak, tetapi apa yang penting bagi saya serta rakan guru lain adalah penglibatan pelajar dalam program peringkat kebangsaan yang sudah tentu memberi peluang kepada mereka mendapat markah kokurikulum.

"Kemampuan mencapai kejayaan dalam satu-satu pertandingan merupakan bonus kepada semua yang terlibat termasuk pihak sekolah sendiri dan sudah tentu kejayaan akan mampu meningkatkan keyakinan diri pelajar untuk keluar sebagai pelajar serba boleh dan cemerlang satu hari nanti," kata Nur Hasnina lagi. - KitaReporters

10
12
0
9
0

Copy Link: