Skim latihan 'padawan' School of Hard Knocks UUM! Gandingkan usaha sama UUM dengan industri!
Published byUNIVERSITI Utara Malaysia (UUM) melakar sejarah tersendiri apabila Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad melancarkan School of Hard Knocks (SoHK) dan menyerahkan watikah pelantikan Fakulti Industri yang dikendalikan oleh Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), Universiti Utara Malaysia (UUM) secara dalam talian pada 4 Julai 2021.
Dr. Noraini Ahmad dalam ucapan perasmian secara maya menggunakan aplikasi Zoom berkata pujian harus diberikan kepada UUM terutama dalam cabaran yang dihadapi akibat pandemik COVID-19 pihak CUIC-UUM telah melakukan perubahan drastik seiring dengan perubahan teknik pengajaran dan pembelajaran kini.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan UUM
Oleh itu inisiatif yang diambil untuk menyediakan siswazah yang memiliki kemahiran industri yang spesifik dalam pelbagai disiplin ilmu sesungguhnya merupakan keperluan pembangunan modal insan negara yang merangkumi keupayaan berfikir aras tinggi, pegangan yang teguh kepada nilai, etika dan elemen kerohanian.
Katanya, penyesuaian kepada norma baharu dan perkembangan senario global ini menunjukkan ekosistem pendidikan perlu berubah secara holistik bagi memastikan kebolehpasaran siswazah yang lestari dalam menghasilkan tenaga mahir yang lebih kompeten.
Dalam konteks ini beliau berkata, UUM mengambil tindakan betul dengan mendedahkan pelajarnya kepada empat elemen utama untuk dikuasai siswazah, iaitu pemikiran kritis, penyelesaian masalah, komunikasi, kolaborasi dan kreativiti dunia baru.
Sesi perbincangan dengan pihak industri.
Semua elemen ini perlu digilap dalam setiap aspek terkini kehidupan mahasiswa sama ada bersemuka atau secara maya agar pelajar berkebolehan untuk terus bersaing dan mempunyai daya tahan yang tinggi.
Pihak Kementerian kata Dr Noraini akan membantu pelajar melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi atau PENJANA KPT-CAP bagi menangani cabaran kebolehpasaran siswazah dan mengurangkan pengangguran akibat wabak COVID-19.
Lulusan yang terpilih itu akan mengikuti program di bawah PENJANA KPT-CAP dan berpeluang untuk meningkatkan kemahiran serta mendapat penempatan pekerjaan setelah tamat program nanti.
“Menerusi kaedah yang dilaksanakan oleh UUM ini pastinya membolehkah pelajarnya dapat mengembangkan bakat dan memenuhi peluang pekerjaan nanti,” ujar beliau lagi.
Dalam pada itu Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani dalam ucapan aluannya berkata, inisiatif penubuhan SoHK ini dilihat menjadi penanda aras untuk penglibatan Universiti Awam (UA) dengan pihak industri, khususnya dari segi kesiapsiagaan pelajar sebelum menempuh alam kerjaya yang sebenar.
SoHK ini dilihat sebagai satu medium yang memberi nilai tambah dalam memperkukuhkan pengetahuan sedia ada dalam kalangan pelajar dari program akademik UUM.
Pelajar yang terlibat akan diberi peluang untuk aktif dalam segala bentuk cara kerja di organisasi terpilih, di mana pelajar-pelajar ini akan menerima latihan dan diberi gelaran sebagai ‘padawan' (pelatih).
Mereka ini seterusnya akan menerima sijil pengiktirafan setelah tamat program melalui organisasi yang mereka sertai nanti.
Majlis perasmian diadakan secara maya.
Untuk fasa pertama, seramai 25 pelajar dari pelbagai latar belakang program pengajian ditempatkan di ViTrox Corporation Bhd dan dilatih dengan kemahiran spesifik industri oleh pakar industri yang dilantik.
Program ini turut membuka peluang kepada pelajar untuk mendapatkan penempatan praktikum serta pekerjaan, di samping menyokong agenda kebolehpasaran siswazah oleh UUM dan KPT sambil membantu membangunkan tenaga kerja yang berdaya tahan pada era dunia baharu ini.
“Kaedah baru kerjasama antara UUM dan industri ini pastinya dapat meningkat dan membentuk semula paradigma para pelajar untuk dunia baru,” ujar beliau lagi.
Katanya secara tidak langsung, program ini menyediakan platform bagi pelajar UUM untuk terlibat secara aktif dengan industri seawal semester lima dan membuka peluang kepada mereka untuk mendapatkan penempatan praktikum serta pekerjaan di masa depan.
TalentCorp Malaysia Berhad antara sepuluh industri yang terpilih.
Sementara itu seorang ‘padawan’ program, Hemaviknesh Supramaniam pelajar semester enam dari Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) yang dihubungi berkata, penyertaannya dalam SoHK adalah untuk memperkasakan kemahiran sedia ada, selain ingin mendapatkan pendedahan sebenar tentang dunia pekerjaan daripada pihak industri.
“Saya memperolehi banyak ilmu daripada pihak ViTrox yang saya sertai dan menggalakkan lebih ramai rakan di kampus ini untuk turut menyertai SoHK,” ujarnya lagi.
Pengarah CUIC-UUM Dr Shahrina othman berharap usaha ini dapat membuka ruang kepada pemain industri untuk bersama membimbing pelajar UUM.
Di majlis ini juga 10 industri telah menerima watikah pelantikan sebagai Fakulti Industri iaitu TalentCorp Malaysia Berhad, Lembaga Tabung Haji, Petronas Berhad, Maybank Berhad, Microsoft Malaysia Sdn Bhd, PKT Logistics Group Sdn Bhd, ViTrox Corporation Berhad, NTV7, Zurich Takaful Malaysia Berhad dan KPMG Malaysia.
Sementara itu, Pengarah CUIC-UUM, Dr. Shahrina Othman yang dihubungi juga berharap usaha yang dijalankan ini dapat membuka ruang kepada pemain industri untuk bersama-sama membimbing pelajar yang menjalani latihan industri agar lebih bersedia menghadapi dunia praktikum dengan lebih berkeyakinan, selain membuka peluang pekerjaan kepada mereka.
Menerusi kaedah baru yang dilaksanakan ini, akan membolehkan UUM bekerjasama dengan lebih rapat lagi dengan pihak Fakulti Industri SoHK dalam mengembangkan bakat pelajar untuk terus relevan dengan keadaan semasa. - KitaReporters
Microsoft Malaysia Sdn Bhd turut akan membantu pelajar UUM.
Maybank Berhad turut menjayakannya.
NTV7 juga membuka peluang kepada pelajar UUM.