Video| Program Solidariti UPM Untukmu Palestin! Juga lancar tabung kemanusiaan bersama MyFundAction!
Published byApa yang berlaku ke atas bumi Palestin bukan tanggungjawab rakyat Palestin semata-mata. Ia juga tanggungjawab umat Islam seluruh dunia untuk mempertahan kedaulatan bumi anbiya itu.
Sanggupkah anda memejamkan mata atau pekakkan telinga dengan apa yang berlaku ke atas rakyat Palestin?
Sudah tentu tidak! Alhamdulillah rakyat Malaysia boleh dikatakan hampir semua cakna atau mengambil peduli tentang hal tersebut.
Justeru atas rasa kecaknaan itu, Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM) dengan kerjasama Chapter Alumni YOSH UPM, Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2022/2023 dan Chapter Student Ambassador (CSA) Sesi 2023/2024 serta rakan strategik daripada Persatuan Alumni UPM, Majlis Perwakilan Kolej, Majlis Perwakilan Fakulti dan MyFundAction telah menganjurkan Program Solidariti UPM Untukmu Palestin.
Program yang telah berlangsung di Dewan Putra 1,
Kolej Tan Sri Aishah Ghani UPM, pada malam 10 November 2023 lalu telah mendapat
sokongan daripada seluruh warga UPM yang terdiri daripada kakitangan, pelajar
dan alumni UPM.
Mereka berkumpul dan berhimpun secara aman untuk
melahirkan rasa ihsan dan empati ke atas rakyat Palestin yang ditindas oleh rejim aparteid Zionis di tanah air mereka sendiri.
Hampir 400 pelajar, alumni dan warga UPM bersatu menzahirkan rasa solidariti ini.
Pelajar berbilang bangsa dan agama turut hadir kerana menyedari ini bukanlah isu agama semata-mata tetapi berkaitan isu kemanusiaan sejagat yang harus diberi penekanan. Kesemua masyarakat dunia berhak hidup aman damai di tanah air tercinta mereka.
Siti Aishah Shahid (tengah) menerima tabung UPM Untukmu Palestin daripada Prof. Dr. Arifin Abdu.
Program ini juga sebagai satu langkah awal untuk menyahut dan menyokong serta menyebarkan mesej mengenai kemanusiaan, keamanan dan kedamaian sejagat.
Selain itu, program ini juga sebagai langkah untuk memupuk semangat prihatin dalam kalangan pelajar dan menerapkan nilai-nilai murni serta menzahirkan kesyukuran dengan nikmat keamanan dan kedamaian yang dikecapi hari ini.
Turut hadir memberi sokongan pada program tersebut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPM, Prof. Dr. Arifin
Abdu; Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Sabrie Mohamad Salleh; Ketua Pengarah Operasi MyFundAction, Siti Aishah Shahid; Timbalan Pengarah
ARCUPM, Fahmi Azar Mistar; dan Pengasas Cinta Gaza Malaysia (CGM), Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.
Para pelajar turut bertuah apabila secara berdepan dan bersemuka dapat mendengar perkongsian daripada Nadir Al-Nuri mengenai kegetiran dan kegawatan yang sedang berlaku di Palestin terutama di kawasan yang teruk dibom oleh aparteid Israel iaitu Semenanjung Gaza.
Nadir Al-Nuri kamaruzaman berkongsi pengalaman
genting di Gaza.
“Mungkin kita di sini masih cukup segala-galanya,
tetapi tidak bagi saudara kita di Gaza. Apabila harta benda awam terutama rumah serta hospital dibom, kekurangan air bersih, elektrik dan Internet disekat, namun
mereka masih masih bertahan kerana mereka yakin Allah SWT bersama-sama mereka.
“Saya sendiri lapan hari tidak dapat menghubungi
anak dan isteri yang berada di Gaza. Namun saya yakin mereka masih selamat
kerana hati saya masih tenang, dan alhamdulillah akhirnya saya dapat berhubung
dengan mereka dan mereka masih selamat selepas menempuhi perjalanan yang
mencabar untuk menyelamatkan diri ke selatan Gaza.
“Gaza semakin genting, keadaan jauh lebih teruk dari awalnya. Namun jika kita bertanya kepada seorang ataupun sesiapa juga yang berada di Gaza, mereka meluahkan rasa syukur kerana pasti akan syahid pada bila-bila masa sahaja dan saya menyeru kita terus menyokong agenda untuk menyelamatkan Palestin dengan menghulurkan apa sahaja bentuk bantuan sebagai tanda sokongan dan solidariti kepada mereka,” ujarnya.
Turut hadir Pengetua Kolej Sultan Alaeddin Suleiman
Shah (KOSASS), Prof Madya Dr. Mursyid (tengah).
Pada program ini juga telah dilancarkan Tabung UPM
Untukmu Palestin yang mana tabung ini diurus sepenuhnya oleh Yayasan Kebajikan Muslim Malaysia (MyFundAction) yang mana pertubuhan bukan kerajaan
ini (NGO) telah secara rasminya bergabung di bawah kumpulan MyAqsa Defenders
untuk menjayakan misi tabung kemanusiaan Palestin.
Lebih menarik lagi, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal
Pelajar dan Alumni UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu turut menyokong dengan
MyAqsa Defenders dalam kalangan warga UPM.
Mesej yang jelas ingin disampaikan menerusi program ini adalah semoga usaha kecil dan suara 'kecil' ini menjadi asbab untuk Palestin bebas daripada penjajahan, kekejaman dan penindasan.
Semoga usaha kecil ini juga turut memberi tekanan dan menyatakan kepada masyarakat dunia bahawa Palestin tidak bersendirian. - KitaReporters