Syabas USIM! Catat 91.83% pelajar keluar mengundi! Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar 2023/2024!
Published byPemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (PMPP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) 2023/2024 berlangsung dengan lancar dan aman pada 6 Disember 2023 dan menyaksikan 91.83 peratus pelajar turun mengundi berbanding 83.73 peratus pada tahun lepas (2022). Peratusan keluar mengundi ini merupakan antara yang tertinggi dicatatkan oleh Universiti Awam.
Sementara itu, bagi kerusi Fakulti Kejuruteraan Alam Bina (FKAB), Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU), Fakulti Sains dan Teknologi (FST) dan Fakulti Pengajian Quran Sunnah (FPQS) pula dengan saingan tiga penjuru.
Bagi kerusi Fakulti Pergigian (FPg) tiada pertandingan kerana calon-calon menang tanpa bertanding.
Sementara itu, Nazurah Farzana Zulkifflee, 20, yang berasal dari Sabah merupakan mahasiswa tahun dua FPg yang mendapat undian tertinggi iaitu sebanyak 7,530 undian berbanding 7,474 undian yang dimenangi oleh Ibni Umar Abdul Aziz Iswady Fazly dari FPQS.
Nazurah Farzana dalam kenyataannya berkata, beliau tidak menyangka akan memenangi undian tertinggi, dan hanya mendapat tahu ketika menyaksikan pengumuman secara dalam talian menerusi platform facebook USIMTV.
"Terima kasih kepada semua mahasiswa yang telah turun mengundi dan menjalankan tanggungjawab anda.
"Saya akan pikul tanggungjawab dan amanah ini untuk membawa dan memperkasakan mahasiswa USIM dengan bergiat aktif dan bekerjasama dengan badan-badan NGO luar dalam pelbagai jaringan aktivisme, serta memupuk dan menyuburkan biah Islamiah dalam kalangan mahasiswa," ujar Nazurah.
Seramai 10,569 mahasiswa yang turun mengundi daripada 11,509 yang layak mengundi telah menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pengundi bermula jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang secara dalam talian dan satu pusat pengundian di FPQS.
Pengumuman keputusan rasmi Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (PMPP) 2023/2024 disampaikan oleh Naib Canselor, Profesor Ts. Dato’ Dr. Sharifudin Md Shaarani bersama barisan pengurusan universiti. - KitaReporters/USIM