Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI) melalui Pusat Perniagaannya, pada 30 Ogos 2024, telah membuka sebuah lagi cawangan Pusat Hemodialisis MAIWP-PICOMS iaitu di Putrajaya. 

Majlis perasmian ini telah disempurnakan oleh Senator Dato' Setia Dr. Mohd Na'im Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta dihadiri Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, Pengerusi MAIWP dan Prof. Dr. Wan Mohd Azizi Wan Sulaiman, Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Naib Canselor UCMI bersama pengurusan kanan MAIWP dan UCMI.

Pusat Hemodialisis MAIWP-PICOMS (PHMP) ini adalah kerjasama strategik antara MAIWP dan UCMI (dahulunya dikenali sebagai Pusrawi International College of Medical Sciences atau PICOMS), bertujuan memperkukuh perkhidmatan kesihatan kepada golongan asnaf di Wilayah Persekutuan. 

Pusat ini dilengkapi dengan teknologi hemodialisis terkini termasuk Mesin Hemodiafiltration (HDF), yang menunjukkan komitmen dalam memberikan rawatan terbaik dan terkini kepada pesakit.



Dalam ucapannya, Dr. Mohd Na'im menegaskan bahawa pembukaan pusat ini merupakan usaha penting MAIWP dan UCMI dalam memperkasa khidmat kesihatan kepada masyarakat, terutama golongan kurang berkemampuan. 

Beliau turut menekankan pentingnya sinergi antara institusi agama dan pendidikan dalam memperluas akses kepada rawatan kesihatan berkualiti.

“Pelan Transformasi Al-Falah daripada Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Malaysia adalah inisiatif penting yang merangkumi pelbagai aspek kehidupan umat Islam, termasuk kesihatan. 

"Pelan ini menekankan kepentingan kesedaran kesihatan melalui kempen meluas. Ini seiring dengan matlamat Pusat Hemodialisis MAIWP-PICOMS, di mana penjagaan kesihatan yang berkualiti dan mudah diakses adalah menjadi keutamaan,” katanya lagi.

Pembukaan Pusat Hemodialisis MAIWP-PICOMS (PHMP) Cawangan Putrajaya ini bukan sahaja meningkatkan akses kepada rawatan berkualiti untuk pesakit asnaf tanpa membebankan kewangan mereka, tetapi juga menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup masyarakat setempat. 

Selain itu, PHMP ini bakal berfungsi sebagai tempat latihan bagi program post-basic (pascaasas) renal serta lapangan kajian untuk pelajar pascasiswazah, dengan kajian yang menumpukan kepada inovasi rawatan perubatan yang diharapkan memberi manfaat besar kepada masyarakat secara keseluruhannya. - KitaReporters/Kenyataan Media

13
15
0
11
0

Copy Link: