Sebahagian peserta perbarisan Perhimpunan Bulanan Edisi Ogos 2024 UPSI.


ACARA Perhimpunan Bulanan Edisi Ogos 2024, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, bersempena sambutan Bulan Kemerdekaan diadakan di UPSI Sports City, Kampus Sultan Azlan Shah pada 21 Ogos 2024.

Acara yang bertemakan “Malaysia Madani, Jiwa Merdeka” yang bertepatan dengan sambutan kemerdekaan peringkat kebangsaan itu dianjurkan bersama Perpustakaan Tuanku Bainun dan Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).

Berucap merasmikan perhimpunan itu, Ketua Pustakawan UPSI, Noriha Muhammad menyifatkan perarakan perbarisan yang diadakan membabitkan pelbagai pusat tanggungjawab menerusi portfolio dan fakulti memperlihat komitmen, kerjasama dan disiplin demi menghasilkan satu gerak kawad harmoni.


Noriha Muhamad menyampaikan ucapan perasmian Perhimpunan Bulanan Edisi Ogos 2024 UPSI.


Menurut beliau, itulah ciri-ciri yang perlu ada dalam diri selaras mencapai hala tuju dan iltizam untuk menjayakan aspirasi yang sudah digariskan universiti tercinta.

“Setiap peserta tidak kira anggota keselamatan, kakitangan dan mahasiswa semuanya melambangkan kekuatan dan semangat yang menyatupadukan kita sebagai satu bangsa.

“Penganjuran majlis ini dapat memberi dorongan bagi menghayati semangat perjuangan dan pengorbanan tokoh kemerdekaan terawal negara termasuklah daripada guru lepasan Sultan Idris Training College (SITC) seperti Pendeta Za’ba, tokoh politik Tun Syed Nasir Ismail dan Tun Abdul Ghafar Baba,” ujarnya.

Turut hadir pada perhimpunan berkenaan, Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed; Penasihat Undang-Undang, Salwati Mohd Aris; Ketua Pegawai Digital, Pusat Teknologi Maklumat, Ts Dr Megat Azrin Ahmad; Pengarah Jabatan Strategik, Prof Dr Azmi Mohamed; Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat, Prof Madya Dr Mohd Izwan Shahri dan Menanggung tugas Pengarah Jabatan Pengurusan dan Harta Benda, Saiduri Dollah.


Noriha melakukan gimik perasmian Peluncuran Aplikasi Mudah Alih (Mobile) Electronic Knowledge and Content Management System (EKCMS) dan Student Attendance System (SAS).


Pada perhimpunan bulanan itu juga, turut dilangsungkan ialah majlis Peluncuran Aplikasi Mudah Alih (Mobile) Electronic Knowledge and Content Management System (EKCMS) daripada Perpustakaan Tuanku Bainun dan Student Attendance System (SAS) oleh Pusat ICT.

Noriha menyifatkan bahawa peluncuran dua produk berkenaan membuktikan bahawa budaya inovasi ini kekal mekar dalam warga UPSI.

EKCMS, katanya, adalah aplikasi telefon bimbit yang dibangunkan untuk kemudahan akses pada sumber perpustakaan manakala SAS ialah satu sistem bagi membantu proses merekod kehadiran kuliah pelajar, pemantauan, peringatan ketidakhadiran kuliah serta sekatan menduduki peperiksaan.

“Melalui produk yang diluncurkan ini, perpustakaan dan pusat ICT akan sentiasa menjadi tulang belakang ke atas aktiviti pembelajaran, pengajaran, penyelidikan dan pengkomersialan di UPSI,” ujar beliau. - KitaReporters


Noriha (tengah) bersama ahli JKPU dan peserta perhimpunan bulan Ogos 2024.

10
17
0
10
0

Copy Link: