SMK Tinggi St. David dari Bukit Baru, Melaka telah dinobatkan sebagai juara pertandingan DIY Made Simple 2024, mengalahkan 590 penyertaan dari 192 buah sekolah.

Tema pertandingan tahun ini, “Ciptaan Hebat daripada Bahan Sisa: Edisi Kertas dan Plastik”, menyeru para pelajar untuk mempertingkat kemudahan sekolah dengan menggunakan bahan sisa kertas dan plastik dengan bijak bagi mengurangkan kos serta menggalakkan kelestarian.

Penyertaan SMK Tinggi St. David yang dinamakan “Simple Shoe Cleaner 1.0” direka untuk membersihkan tapak kasut pelajar daripada kotoran dan rumput selepas kelas pendidikan jasmani. 

Inovasi yang bijak dan kreatif ini diperbuat daripada kepingan kertas mampat, epoksi, penutup botol yang dicairkan, dan botol plastik. 

Alat ini dapat menghilangkan kotoran dan rumput, membolehkan pelajar masuk ke dalam bilik darjah dengan kasut yang bersih.

‘DIY Made Simple’ adalah pertandingan tahunan untuk seluruh negara yang dianjurkan oleh peruncit perkakas rumah terbesar di Malaysia, Kumpulan Mr DIY (M) Berhad (Mr DIY), dengan kerjasama Pusat Penglibatan Komuniti Universiti Malaya (UMCares) dan Fakulti Alam Bina UM, serta disokong oleh Bahagian Sukan, Kokurikulum, dan Kesenian dari Kementerian Pendidikan. 

Untuk tahun ini (2024), cabang amal Mr DIY, Yayasan Mr DIY turut menjadi rakan kongsi dalam inisiatif ini.


Projek yang dinobatkan sebagai juara “Simple Shoe Cleaner 1.0” dari SMK Tinggi St. David, Bukit Baru di Melaka.


Pada majlis penyampaian hadiah yang diadakan di Auditorium Kompleks Perdana Siswa Universiti Malaya (UM) pada 16 Ogos 2024, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Mr DIY, Zaleha Mohd Mydin berkata, “Kami percaya bahawa semangat kelestarian perlu dipupuk dalam diri generasi muda di Malaysia jika kita ingin melindungi planet kita untuk generasi akan datang. 

"Matlamat kami dalam menganjurkan pertandingan DIY Made Simple ini adalah untuk membina pemahaman yang kuat dan mampan serta penghargaan terhadap bagaimana proses pengurangan, penggunaan semula, kitar semula, dan pengubahsuaian boleh menghasilkan impak yang positif kepada persekitaran binaan yang berbeza, terutama di sekolah-sekolah, di mana kanak-kanak menghabiskan sebahagian besar masa mereka."

"Kami sangat berbangga dengan perkembangan program ini sejak dilancarkan pada tahun 2017. Kami percaya bahawa program ini akan mencipta kesan gelombang di seluruh negara dan bertindak sebagai pemangkin kepada perubahan positif," tambah beliau.

Zaleha turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada pelbagai organisasi yang terlibat dalam pertandingan ini, dengan menyatakan bahawa kejayaan program ini adalah hasil kerjasama yang kukuh antara Mr DIY dengan Universiti Malaya, Kementerian Pendidikan, serta dedikasi yang tidak berbelah bahagi dari para pelajar, guru, dan ibu bapa. 

"Penyertaan yang kami terima sangat hebat, cukup memberi inspirasi dan meyakinkan saya bahawa masa depan Malaysia dalam kelestarian amat cerah sekali. Tahniah kepada anda semua."

Profesor Madya Dr. Amer Siddiq Amer Nordin, Pengarah Pusat Penglibatan Komuniti Universiti Malaya turut memuji usaha para peserta. 

Beliau berkata, "DIY Made Simple merupakan pertandingan unik yang memainkan peranan penting dalam mencetuskan kreativiti dan memupuk inovasi. Ia mempersiap generasi muda dengan kemahiran dan kecekapan yang penting untuk meraih kejayaan dalam dunia global."

"Inisiatif ‘DIY Made Simple’ membuktikan kuasa kerjasama dan komitmen berterusan daripada semua rakan kongsi dalam menghasilkan impak yang besar kepada komuniti. 

"Adalah penting bagi universiti, badan kerajaan, industri, organisasi bukan kerajaan, dan media untuk bekerjasama dan saling menyokong dalam melaksanakan inisiatif yang dapat membawa hasil yang bermakna kepada masyarakat. Bersama-sama, kita boleh menghasilkan perubahan sebenar,” kata beliau.


Juara DIY Made Simple 2024, SMK Tinggi St. David, Bukit Baru di Melaka.


Sebagai juara, SMK Tinggi St David membawa pulang wang tunai berjumlah RM4,000, manakala SMK St Peter Kudat (M), Kudat, Sabah berada di tempat kedua dan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM3,000. 

SMK Seri Panching, Kuantan, Pahang menduduki tempat ketiga dan menerima wang tunai sebanyak RM2,000; SMK Merapok, Lawas, Sarawak, mendapat tempat keempat dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000, manakala SMA Persekutuan Kajang, Kajang, Selangor menduduki tempat kelima dan menerima wang tunai sebanyak RM500. 

Selain itu, setiap pasukan turut menerima baucar tunai Mr DIY bernilai RM300, berserta sijil dan trofi.

Maahad Tahfiz Negeri Pahang, Kuantan, Pahang, dan SMK Tinggi St. David masing-masing menerima hadiah wang tunai sebanyak RM500 kerana berjaya mendapat jumlah ‘like’ terbanyak bagi video pertandingan mereka dalam platform YouTube dan TikTok.

Hadiah saguhati (Anugerah Inspirasi) berupa baucar tunai Mr DIY bernilai RM300, sijil, dan trofi telah dianugerahkan kepada:

  1. SMK St. Mary, Limbahau, Papar, Sabah.
  2. SMK Kunak Jaya, Kunak, Sabah
  3. SMK Tasek Utara, Johor Bahru, Johor.
  4. SMK Shahbandaraya, Klang, Selangor.
  5. SMJK Phor Tay, Bayan Lepas, Pulau Pinang
  6. SMA Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
  7. SMK Muadzam Shah, Muadzam Shah, Pahang
  8. Kolej Vokasional Sepang, Dengkil, Selangor.
  9. SMK Air Merah, Kulim, Kedah.
  10. SMK Convent (M) Kajang, Kajang, Selangor (2 pasukan).


Wajah-wajah ceria para peserta pertandingan DIY Made Simple 2024


Program ini juga mengiktiraf Jabatan Pendidikan Negeri yang telah membantu menyeru penyertaan dari negeri masing-masing, dengan Jabatan Pendidikan Negeri Perak merangkul tempat pertama, diikuti Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Sarawak, Selangor, dan Johor.

Sejak dilancarkan pada tahun 2017, pertandingan DIY Made Simple telah melibatkan lebih 6,200 pelajar dari 715 sekolah di seluruh negara, dengan 1,242 penyertaan projek setakat ini. 

Pada tahun 2022, Mr DIY mengumumkan bahawa ia akan meneruskan kerjasama dengan UM untuk tempoh tiga tahun lagi, bagi pertandingan pada tahun 2023 hingga 2025. - KitaReporters/Kenyataan Media

17
13
0
14
0

Copy Link: