Ramadan, bulan yang penuh keberkatan dan rahmat, bukan sahaja menjadi waktu bagi umat Islam meningkatkan ibadah, tetapi juga medan menggilap potensi generasi muda dalam penghayatan Islam. 

Dalam suasana penuh kemuliaan ini, Universiti Teknologi MARA (UiTM) berbangga apabila dua pelajarnya, Muhammad Eiman Hakim Abd Aziz dan Amir Fauzul Ilham Hazlan, telah terpilih untuk mengimamkan solat tarawih di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang sepanjang bulan Ramadan 1446H.

Muhammad Eiman Hakim merupakan pelajar semester dua Sarjana Muda Muamalat di UiTM Shah Alam, manakala Amir Fauzul Ilham pula adalah pelajar semester empat dari Kolej Pengajian Kejuruteraan Mekanikal, UiTM Shah Alam. 

Kedua-duanya adalah alumni Maahad Tahfiz Istana Alam Shah yang menerima tajaan penuh daripada Sultan Selangor dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Lembaga Zakat Selangor.

Seramai 30 calon menghadiri sesi temu duga untuk mengimamkan solat tarawih di Istana Alam Shah, namun hanya 10 individu dipilih, termasuk Eiman dan Amir. 

Kedua-duanya memiliki latar belakang yang kukuh dalam bidang hafazan dan pengajian Islam, menjadikan mereka calon terbaik untuk menggalas amanah ini.



Muhammad Eiman Hakim, anak kedua daripada tujuh beradik dari Banting, menunjukkan minat mendalam terhadap Al-Quran sejak kecil. 

Beliau pernah menjuarai pertandingan Tilawah Al-Quran peringkat sekolah, Johan Pertandingan Rawi dan Marhaban peringkat daerah (KAMIL), serta dinobatkan sebagai Rawi Terbaik peringkat daerah. 

Beliau juga memenangi tempat ketiga dalam pertandingan Selawat Bilal Solat Tarawih anjuran Masjid Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan, UiTM Shah Alam.

Amir Fauzul Ilham pula, berasal dari Jalan Kebun, Klang, merupakan anak keempat daripada tujuh beradik, dan kesemua adik-beradiknya adalah hafiz Al-Quran. 

Beliau telah berkhidmat sebagai imam dan bilal tarawih di Masjid Istana Alam Shah selama hampir dua tahun. 

Setiap tahun pada 5 Ramadan, beliau dijemput bersama Mufti Selangor dan imam Masjid Negeri untuk bacaan Yasin dan tahlil sempena Hari Hol bagi memperingati kemangkatan ayahanda Sultan Selangor.

Menurut Amir, menjadi imam di Istana Diraja adalah pengalaman yang amat berharga tetapi juga mendebarkan pada mulanya. 

“Saya cuba sedaya upaya mengawal perasaan gementar untuk menjalankan tanggungjawab ini dengan baik,” katanya. 

Eiman pula menambah, “Pada mulanya saya gementar kerana mengimamkan solat di hadapan Sultan Selangor dan tetamu kenamaan, tetapi lama-kelamaan saya dapat menyesuaikan diri.”


Muhammad Eiman Hakim Abd Aziz (kanan), Amir Fauzul Ilham Hazlan dan Dr. Shahrin Sahib (kiri).


Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, menyifatkan pemilihan dua pelajar ini sebagai satu kebanggaan bagi universiti. 

“UiTM amat menggalakkan mahasiswa untuk bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga dalam sahsiah serta memberi sumbangan kepada masyarakat. 

"Pencapaian Eiman dan Amir menjadi bukti bahawa UiTM terus melahirkan graduan yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga berakhlak tinggi dan mampu memberi manfaat kepada ummah.”

Pelantikan dua pelajar UiTM sebagai imam tarawih di Masjid Istana Diraja bukan sahaja mengangkat nama universiti, tetapi juga membuktikan bahawa UiTM terus komited dalam melahirkan generasi yang berilmu dan berdaya saing dalam pelbagai bidang, termasuk dalam pengimarahan syiar Islam. - KitaReporters/Kenyataan Media

14
11
0
14
0

Copy Link: