Oleh MUHAMMAD HAFIZ ABDUL JALIL 

Sekreteriat Kesukarelawanan Mahasiswa USIM 


Seramai 30 orang ahli Sekreteriat Kesukarelawanan Mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (SKM USIM) telah menyertai Program Semarak Siswa Madani yang bertempat di Kampung Orang Asli Bukit Kepong, Pasir Panjang, Port Dickson di Negeri Sembilan pada 13 dan 14 Januari 2024 baru-baru ini.

Program Semarak Siswa Madani ini telah dianjurkan oleh pihak SKM USIM sendiri dan mendapat tajaan kewangan dari Pusat Hal Ehwal Pelajar USIM (PHEP USIM) serta Pusat Wakaf dan Zakat USIM (PWZ USIM).

Antara aktiviti menarik yang diadakan ialah gotong-royong, memasak, sukaneka kanak-kanak dan sebagainya.



Menurut Presiden SKM USIM, Muhammad Nor Syamrin Ezamudin, 22, program ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada mahasiswa untuk berinteraksi dan mengenali masyarakat Orang Asli dengan lebih mendalam sebagai langkah untuk mengatasi ketidakpedulian masyarakat terhadap golongan Orang Asli di Malaysia.

“Masyarakat Orang Asli merupakan golongan yang perlu dititikberatkan kerana masyarakat Malaysia sering mengabaikan serta melupakan mereka.

“Kita perlu memberikan perhatian dan santunan kepada golongan ini yang sering kali dipinggirkan dalam masyarakat kerana mereka juga merupakan rakyat negara ini,” kata pelajar Sarjana Muda Undang-Undang dan Syariah USIM itu.



Sementara itu, salah seorang peserta program ini, Syarifah Nurnabilah Sayed Shaikh berkata, beliau sangat berbesar hati setelah terlibat dalam program yang bermanfaat ini.

“Saya berasa sangat gembira setelah menyertai program ini kerana masyarakat Orang Asli mengalu-alukan kedatangan kami dan memberi sambutan yang baik dengan senyuman serta layanan yang luar biasa,” katanya.

Beliau juga menyatakan bahawa program ini mampu memberikan manfaat buat penduduk Orang Asli di kampung tersebut.

“Program ini secara tidak langsung membuka peluang kepada mereka untuk berinteraksi dengan masyarakat luar kerana mereka jarang keluar ke bandar melainkan untuk membeli barang keperluan sahaja.

“Apabila diajak bersembang, mereka tidak sombong serta tidak segan silu untuk menceritakan kehidupan, adat dan budaya mereka kepada kami dengan penuh semangat,” ujarnya.



Di samping itu, Nabilah juga memberitahu bahawa beliau memperoleh banyak pengajaran berharga sepanjang berkhidmat secara sukarelawan dalam program tersebut.

“Program ini telah mengubah persepsi saya terhadap masyarakat Orang Asli kerana apabila bersama mereka, saya menyedari sifat ramah mereka yang ikhlas terhadap masyarakat luar di samping dapat memahami etika, budaya serta kehidupan mereka secara lebih mendalam.

“Program ini juga mengajar saya tentang pentingnya memahami hati budi masyarakat Orang Asli untuk penyampaian dakwah yang lebih efektif supaya mereka dapat menerima dakwah yang disampaikan oleh kami dengan hati yang terbuka.

“Selain itu, kami juga diberi peluang untuk belajar membuat kraf tangan Orang Asli seperti ‘sewang’ dan ‘tangguk’ sebagai kenang-kenangan untuk dibawa pulang,” jelas pelajar tahun tiga USIM itu.



Dalam pada itu, Syamrin juga menegaskan bahawa program yang diadakan ini akan membuka mata golongan muda terutama mahasiswa untuk menceburi aktiviti kesukarelawanan seperti ini.

“Aktiviti sukarelawan ini bukan sahaja dapat memberikan pengetahuan serta pengalaman berharga, malah ia dapat mengasah kemahiran insaniah atau ‘soft skills’ seseorang terutama pada kemahiran berkomunikasi dan bekerjasama.

“Saya berharap semakin ramai anak muda yang mahu melibatkan diri dalam program kesukarelawanan seperti Program Semarak Siswa Madani ini pada masa hadapan,” ujar beliau. - KitaReporters

21
7
0
9
0

Copy Link: