Bangunkan OKU Madani, perkasa Kampus Inklusif OKU! UPM anjur kem kepimpinan pelajar untuk pelajar OKU!
Published byKem Pembangunan dan Pemantapan Kepimpinan Pelajar untuk 30 pelajar orang kelainan upaya (OKU) telah dianjurkan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini bagi membangunkan OKU Madani berteraskan matlamat Malaysia Madani yang kelima.
Ahli Lembaga Pengarah UPM, Dr. Noraishah Mydin Abdul Aziz berkata kem itu menyediakan pelbagai modul bersifat kepimpinan dan pembangunan diri daripada para pensyarah Fakulti Ekologi Manusia UPM.
Dr. Noraishah Mydin Abdul Aziz (depan, dua dari kanan)
Katanya usaha tersebut menyahut seruan kerajaan bagi memperkasakan Kampus Inklusif OKU dan wajar dipergiatkan oleh semua universiti dalam negara bagi mempersiapkan pelajar OKU dengan ilmu dan bakat memimpin negara.
Menurutnya kem yang dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HELA) UPM tersebut berupaya membina sifat keyakinan dan bertanggungjawab pelajar OKU di universiti untuk cemerlang dalam akademik dan kemahiran insaniah.
Sementara itu Presiden Persatuan Mahasiswa OKU UPM, Pang Khong You berkata modul yang diajar memberikan nilai tambah pembelajaran dan nilai insan yang membentuk keyakinan diri pelajar OKU.
“Saya berharap satu program mobiliti antarabangsa untuk pelajar OKU universiti awam dapat dibuat dalam masa terdekat untuk memberi pengalaman menguruskan program antarabangsa yang berimpak,” ujarnya.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu, berkata idea kem tersebut dicetuskan oleh Naib Canselor UPM, Dato' Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah yang merangka konsep True North berpaksikan hasil, nilai dan keterangkuman ke arah moto UPM, Berilmu Berbakti. - KitaReporters/Kenyataan Media