Beraya di kampus! Bahang terasa, persiapan raya bermula! Lembaran di perantauan cipta kenangan manis!
Published byWalaupun tidak dapat pulang beraya bersama keluarga di kampung halaman namun mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) tetap merasakan bahangnya apabila dapat berkumpul bersama rakan-rakan lain untuk menyiapkan ketupat sebagai hidangan di pagi Aidilfitri nanti.
Kelihatan pelajar semester enam Sarjana Muda Pendidikan, Mohd Ikmal Mohd Hussin yang berasal dari Lahad Datu, Sabah mempelajari cara menganyam daun ketupat bersama rakan-rakan di Inapan Siswa Tradewinds UUM.
Katanya, kesayuan tetap dirasakan tetapi sebagai bakal pendidik dan mahasiswa yang menyambung pengajian di kampus ini terpaksa menerima kenyataan dan menjadikan kenangan manis merayakan Aidilfitri bersama rakan-rakan lain di universiti ini.
“Hati mana yang tidak merasa sayu bila melihat rakan-rakan meninggalkan kampus dan alunan lagu raya dendangan arwah Sudirman bertajuk Balik Kampung ke udara tetapi menyambut lembaran di perantauan juga merupakan satu kenangan manis yang perlu tercatat dalam kehidupan ini,” ujarnya ketika ditemui.
Manakala rakannya dari Semporna, Sabah, Nurfahirah Mohammad Basri yang ditemui berkata, walaupun tidak dapat pulang beraya bersama keluarga namun berkomunikasi melalui panggilan video dan bercakap dengan ahli keluarga seperti terubat perasaannya.
“Bersyukurlah pihak universiti juga menyediakan pelbagai menu dan menghimpunkan warga kampus bagi menyambut lembaran di Masjid Sultan Badlishah UUM,” katanya ketika menyertai rakan-rakan lain menyediakan kelongsong ketupat.
Dalam pada itu Dekan Pusat Pengajian Pendidikan, Prof Madya Dr Yahya Don turut menyampaikan kuih raya kepada pelajarnya yang tidak pulang beraya pada tahun 2023 ini.
“Kita sentiasa bersama pelajar dan kegembiraan mereka adalah kegembiraan kita juga terutama bila menyambut Aidilfitri ini,” katanya ketika dihubungi. - KitaReporters