UMT hidupkan tradisi masak gotong royong bubur Asyura! Agihkan 2k pek kepada warga kampus, komuniti!
Published by
Bubur Asyura yang siap dimasak dimasukkan ke dalam bekas khas untuk diagihkan kepada orang ramai
AKTIVITI membuat bubur Asyura yang menjadi amalan masyarakat Islam pada setiap kali bulan Muharam kini turut dipraktikkan oleh pelajar pusat pengajian tinggi tempatan.
Bubur Asyura amat sinonim dengan bulan Muharam. Ia merupakan makanan tradisi turun temurun yang dimasak secara gotong royong. Aktiviti ini dilakukan pada setiap 10 Muharam.
Bagi menghidupkan tradisi memasak bubur Asyura yang semakin dilupakan dalam kalangan masyarakat terutama golongan anak muda, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah mengadakan program ‘Jom Kuca Sure’ sempena sambutan Awal Muharam 1446 Hijrah bertempat di pekarangan Masjid UMT.
Bubur Asyura yang menggunakan resipi tradisi Terengganu ini menggabungkan bahan seperti lengkuas, serai, halia, daging, ayam, beras, santan, bijian dan rempah ratus.
Setiap negeri terutama negeri-negeri di Semenanjung Malaysia mempunyai resipi bubur Asyura yang berlainan rasa dan ramuan serta kepelbagaian cara pembuatannya, bergantung kepada citarasa setiap negeri.
Program ‘Jom Kuca Sure’ merupakan anjuran bersama Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM), Persatuan Pentadbir dan Ikhtisas (PERENTAS) UMT, Kelab Wanita UMT (MUTIARA) dan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE).
Presiden PERENTAS UMT, Wan Mohd Wazir Wan Abdul Wahab berkata, gotong-royong memasak bubur Asyura ini mengambil masa selama enam hingga tujuh jam sebelum 2,000 bekas bubur dapat diedar kepada warga UMT serta komuniti.
“Alhamdulillah, sebanyak 9 kawah bubur Asyura disediakan dan ia dilakukan secara gotong royong bersama staf UMT dan komuniti.
"Saya harap aktiviti sebegini dapat diteruskan bagi mengeratkan ukhuwah sesama staf dan komuniti di samping memupuk keceriaan dalam program sedemikan sambil beramal," katanya lagi.
Tambahnya, walaupun aktiviti ini dilakukan secara sederhana, kemeriahan dan keharmonian sesama individu jelas terpancar. Aktiviti penyediaan bahan keperluan dan mengacau bubur Asyura secara gotong-royong hinggalah kepada proses agihannya dilakukan secara muafakat dapat mengeratkan silaturrahim antara mereka. - KitaReporters