Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh jaringan akademiknya pada peringkat antarabangsa dengan menandatangani lima Memorandum Persefahaman (MoU) dengan universiti terkemuka di Uzbekistan. 

Majlis pertukaran MoU ini berlangsung sempena 1st Malaysia-Uzbekistan Higher Education Forum and Showcase (Pameran dan Forum Pengajian Tinggi Malaysia-Uzbekistan Pertama) yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Malaysia dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 4 Februari 2025 baru-baru ini.

Naib Canselor USIM, Prof. Dato' Ts. Dr. Sharifudin Md. Shaarani menyatakan bahawa kolaborasi ini membuka lebih banyak peluang dalam bidang akademik, penyelidikan dan pertukaran pelajar serta pensyarah.

"MoU ini adalah satu langkah strategik dalam memperkasakan kerjasama antara Malaysia dan Uzbekistan, khususnya dalam bidang pendidikan tinggi. Ia juga sejajar dengan aspirasi USIM untuk menjadi universiti global yang berteraskan integrasi ilmu Naqli dan Aqli," katanya.



Antara institusi Uzbekistan yang terlibat dalam perjanjian dengan USIM ialah Tashkent University of Architecture and Civil Engineering (TUACE), Urgench State University (USU), Silk Road International Research Institute, Tashkent State University of Law (TSUL), dan International Islamic Academy of Uzbekistan (IIAU) yang mewujudkan kerjasama pertukaran pelajar dan staf, penyelidikan bersama, pembangunan akademik, dan seminar serta penerbitan ilmiah.

Selain menandatangani MoU, USIM turut memainkan peranan utama dalam forum tersebut dengan pembentangan oleh Naib Canselor, Professor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md. Shaarani, bertajuk Islamic Banking in the Era of Fintech. 

Forum ini juga menyaksikan penglibatan lebih 25 rektor universiti dari Uzbekistan serta wakil institusi pendidikan tinggi Malaysia.

Menurut beliau, kerjasama ini bukan sahaja dapat memperkukuh hubungan akademik tetapi juga membuka peluang lebih luas kepada penyelidik, pensyarah dan pelajar untuk meneroka bidang ilmu yang lebih mendalam.

"Melalui inisiatif ini, kita bukan sahaja berkongsi kepakaran dan pengalaman, tetapi juga membina jambatan ilmu yang akan memberi manfaat kepada generasi akan datang," tambahnya.



USIM juga menjadi salah satu daripada enam Universiti Awam di Malaysia yang menandatangani Letter of Intent (LoI) dengan Republic Council of Higher Education, The Republic of Uzbekistan bagi menubuhkan konsortium pendidikan tinggi antara kedua-dua negara yang bertujuan memupuk kerjasama akademik jangka panjang, termasuk dalam penyelidikan dan inovasi, dengan memastikan kelestarian program yang dijalankan.

Dengan termeterainya perjanjian ini, USIM terus komited dalam memperluas kerjasama global, sejajar dengan usaha meningkatkan kualiti pendidikan dan penyelidikan yang berimpak tinggi pada peringkat antarabangsa. - KitaReporters/USIM

 

18
12
0
11
0

Copy Link: