Wakil universiti-universiti Malaysia dan Uzbekistan bersama dokumen perjanjian masing-masing.


Kejayaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan Forum Pendidikan Tinggi Malaysia-Uzbekistan Kali Pertama yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City pada 4 Februari 2025 sebagai satu kejayaan yang memberi impak positif terhadap peluang melonjakkan pendidikan tinggi antara kedua-dua negara.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abdul Kadir dalam ucapan perasmiannya menyifatkan inisiatif UPSI menganjurkan majlis forum berkenaan sebagai usaha terbaik dalam memperkukuh pendidikan tinggi kedua-dua negara.

Beliau berkata, antara pencapaian utama forum itu ialah pemeteraian beberapa Memorandum Persefahaman (MoU), Letter of Intent (LoI) dan Letter of Agreement (LoA) antara institusi pengajian tinggi dari kedua-dua negara. 

Menurutnya, pemeteraian itu mencerminkan komitmen kukuh kedua-dua negara dalam memperluaskan kerjasama akademik, penyelidikan, pertukaran pelajar dan staf akademik serta inisiatif bersama dalam pembangunan kapasiti.


Dr Zambry Abdul Kadir bersama Konratbay Sharipov diiringi Prof Md Amin Md Taff (kanan) melihat pameran insiatif Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI.


Selain itu, katanya, forum berkenaan turut menyaksikan penubuhan Konsortium Pendidikan Tinggi Antara Malaysia-Uzbekistan (MUHEC) yang diterajui oleh UPSI sekali gus menjadi platform strategik untuk menggalakkan mobiliti akademik, projek penyelidikan bersama dan perkongsian amalan terbaik dalam pendidikan tinggi.

“Usaha ini diharapkan dapat membuka lebih banyak peluang untuk pelajar, ahli akademik dan penyelidik dari kedua-dua negara, sekali gus menyumbang kepada pembangunan modal insan berkualiti tinggi pada peringkat global,” ujarnya

Forum yang membabitkan pembentang oleh akademia Malaysia dan Uzbeskitan itu antara lain membincangkan topik berkaitan sains dan inovasi dalam pendidikan tinggi, sosioekonomi dan kerjasama strategik untuk kelestarian pembangunan, ekonomi hijau serta pelancongan, Revolusi Industri 5.0, Kecerdasan Buatan (AI) dan Meta-Teknologi serta perbankan Islam dalam era teknologi kewangan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Sains dan Inovasi, Uzbekistan, Konratbay Sharipov dalam ucapannya yakin kunjungan sempena forum itu akan membuka jalan kepada perkongsian dan persahabatan yang lebih bermakna dan inisiatif pendidikan yang transformatif malah mengeratkan hubungan silaturahim dan kerjasama antara Malaysia dan Uzbeskitan. 



Sementara itu Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata forum yang bertujuan mengukuhkan hubungan kerjasama antara institusi pendidikan tinggi Malaysia dan Uzbekistan itu membuka peluang lebih luas dalam meneroka peluang serta inisiatif dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Selain itu, katanya, ia menampilkan inovasi dan pencapaian pendidikan tinggi kedua-dua negara malah membuka peluang untuk menjadi sebahagian daripada inisiatif negara serta bersama UPSI dalam memperkasa pendidikan tinggi pada peringkat global.

Beliau berkata, penganjuran forum dengan sokongan Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT) serta Kementerian Pendidikan Tinggi, Sains dan Inovasi Uzbekistan disertai lebih 100 universiti awam dan swasta dari Malaysia serta Uzbekistan yang menyaksikan lebih 56 nota kerjasama ditandatangani.

“Kami berbangga dan berterima kasih terhadap penyertaan dan sokongan dari institusi pendidikan tinggi Uzbekisan yang bukan sahaja membentang kertas kerja malahan menyertai pameran yang menarik,” katanya.

Forum bertemakan "Uzbekistan-Malaysia: Opportunities and Initiatives for Achieving Sustainable Development Goals in Higher Education" itu juga memperlihat komitmen UPSI dalam melonjakkan pendidikan tinggi di Malaysia dengan institusi pendidikan yang terdapat di Uzbekistan.

Sempena forum sehari itu turut diadakan pameran berkaitan sukan, sains, teknologi, budaya, pelancongan pendidikan, pendidikan awal kanak-kanak serta peluang melanjutkan pengajian di universiti kedua-dua negara. - KitaReporters


Tetamu Forum Pendidikan Tinggi Malaysia – Uzbekistan bergambar kenangan di hadapan Dewan Tuanku Canselor.

12
15
0
8
0

Copy Link: