Peserta daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dinobatkan sebagai naib johan Pertandingan Pidato Institusi Pengajian Tinggi Serantau bersempena Mahrajan Hafl Al-Takharruj 2024 yang berlangsung di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Brunei Darussalam pada 28 September 2024.

Najmi Adli Mustaffa yang juga merupakan pelajar tahun empat, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan merangkap Pengerusi Kelab Penerbitan Kreatif, Pusat Kebudayaan USIM berjaya menempatkan diri pada peringkat akhir slepas berentap pada peringkat saringan bersama 14 orang peserta IPT yang mewakili Malaysia, Brunei dan Indonesia.

Pertandingan yang julung kali diadakan anjuran UNISSA dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei dan Universiti Brunei Darussalam itu untuk mengangkat tema Maqasid Syariah Teras Pembangunan Mampan sebagai usaha pengekalan (sustainability) dalam memartabatkan kemahiran pengucapan umum pidato ini terus dihayati generasi muda. 



“Saya sangat bersyukur atas kejayaan yang diraih dan ini adalah peluang serta platform yang harus digunakan sebaik mungkin di pentas yang lebih besar untuk menguji keupayaan dalam bidang pengucapan awam khususnya pidato, sekali gus mengharumkan nama USIM,” kata Najmi Adli Mustaffa.

Tambah beliau, setiap wakil pemidato memberikan saingan sengit dan ada dala kalangan mereka yang telah berpengalaman dan pernah merangkul gelaran juara pada pelbagai peringkat. 

“Sudah semestinya saya harus tampil dengan kelainan dari sudut penyampaian, teks dan paling penting bagaimana ingin memenangi hati penonton dan panel juri khususnya,” tambahnya lagi.

“Terima kasih kepada pihak pengurusan tertinggi USIM, HEPA, pengurusan fakulti, Pusat Kebudayaan serta Pusat Wakaf dan Zakat USIM atas sokongan dalam misi membawa pulang kemenangan di pertandingan ini, moga menjadi pembakar semangat buat saya terus berjaya,” kata Najmi.

Selain itu, kata azimat dalam bahasa Brunei beliau sebelum menutup pidatonya pada peringkat akhir telah memperlihat kelainan dan menambat hati juri dan penonton yang hadir, sekali gus membolehkannya merangkul naib johan pertandingan ini.

“Kadiaku berharap yang mahrajan kali ani ukannya yang terakhir di Bumi Begawan, Bumi penuh Rahmat,” bait-bait kata penutup pidato Najmi Adli mewakili USIM pada pentas akhir.



Dalam pada itu, Pengerusi Bersama Mahrajan Hafl Al-Takharruj ke-14, Nurhafizatulhikmah Seribini, berkata bahawa pertandingan ini adalah salah satu usaha menzahirkan komitmen berterusan UNISSA untuk menonjolkan kepentingan Maqasid Syariah dalam melaksana dan mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals).

Pidato merupakan satu cabang seni pengucapan yang mana keberkesanannya bergantung kepada kombinasi penghujahan yang logik, jelas, teratur dan penyampaian yang menarik perhatian ramai. 

Kemahiran ini penting bagi melahirkan pemimpin yang berkeyakinan dan berwibawa dalam menyampaikan idea, berunsur mempengaruhi dan memberi inspirasi serta mampu meraih perhatian khalayak umum.

Pertandingan ini telah berlangsung selama dua hari iaitu peringkat saringan pada 27 September 2024 bertempat di Dewan Auditorium, Universiti Islam Sultan Sharif Ali dan peringkat akhir pada 28 September 2024 di Balai Khazanah Sultan Haji Hassanul Bolkiah, Brunei Darussalam.

Johan bagi pertandingan Pidato Serantau Sempena Mahrajan Hafl Al-Takharruj Ke-14 dinobatkan kepada Muhammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), diikuti Najmi Adli Mustaffa daripada USIM sebagai naib juara dan tempat ketiga Roselind Nadiera Talib, Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Malaysia. 

Hadiah kepada pemenang telah disampaikan oleh Rektor UNISSA Dato Seri Setia Dr. Norarfan Zainal. Kesemua pemenang menerima piala iringan, sijil, wang tunai dan cenderahati oleh penganjur.

Turut hadir di majlis tersebut ialah wakil dari Kedutaan Besar Republik Indonesia dan wakil dari Suruhanjaya Tinggi Malaysia, Penolong Rektor termasuk kakitangan UNISSA, wakil-wakil daripada Institusi Pengajian Tinggi, pelajar dan pensyarah dan juga peserta pertandingan pidato serantau. - KitaReporters/Kenyataan Media

12
13
0
6
0

Copy Link: