Universiti Teknologi MARA (UiTM) menyambut seramai 55,455 pelajar baharu yang mendaftar di seluruh negara pada 28 September 2024 bagi Sesi Oktober 2024. 

Jumlah tersebut merangkumi 4,200 pelajar Pradiploma, 26,991 pelajar Diploma, dan 24,264 pelajar Ijazah Sarjana Muda. 

Di kampus utama Shah Alam sahaja, 4,117 pelajar baharu telah mendaftar untuk memulakan pengajian mereka. 

Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr. Shahrin Sahib, dalam kenyataanya mengucapkan tahniah kepada semua pelajar baharu atas kejayaan mereka memasuki UiTM. 

Beliau juga menzahirkan harapan agar mereka dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang ini untuk mencapai kejayaan akademik serta menyumbang kepada negara. 



“Tahniah kerana berjaya melanjutkan pengajian di universiti yang penuh prestij ini. UiTM bangga menyambut anda dan berharap anda akan mengharungi cabaran akademik dengan penuh semangat dan dedikasi,” ujar beliau. 

Profesor Dr. Shahrin turut meluangkan masa bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Mohd Sazili Shahibi, untuk beramah mesra dengan pelajar-pelajar baharu di UiTM Shah Alam sempena hari pendaftaran tersebut. 

Pendaftaran bagi penempatan kolej kediaman di UiTM Shah Alam akan berlangsung pada 28 dan 29 September 2024. 

Pelajar yang mendaftar akan ditempatkan di Kolej Kediaman Mawar dan Kolej Kediaman Perindu, dengan kapasiti masing-masing seramai 2,131 dan 1,986 pelajar. 

Bagi kampus-kampus lain di Kedah, Terengganu, Kelantan, dan Johor, pendaftaran telah bermula lebih awal pada 27 September 2024. 



Minggu Destini Siswa, program orientasi yang diwajibkan kepada semua pelajar baharu, akan diadakan dari 30 September hingga 4 Oktober 2024. 

Program ini bertujuan memperkenal pelajar kepada kehidupan kampus serta membantu mereka menyesuaikan diri dengan suasana universiti. 

Keseluruhan proses pendaftaran berjalan dengan lancar dan teratur dengan kerjasama pasukan Polis Bantuan UiTM, Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Pemimpin Mahasiwa Minggu Destini Siswa, staf Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP), serta petugas kesihatan UiTM Shah Alam. - KitaReporters/Kenyataan Media

17
6
0
10
0

Copy Link: