Tahniah MPP USIM 2022/23! Pemilihan wakil suara pelajar di Dewan Senat Universiti! Kesedaran Undi18!
Published byKESEDARAN politik dalam kalangan golongan Undi18 khususnya mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Malaysia baru-baru ini menunjukkan reaksi positif apabila sebanyak 83.70 peratus mahasiswa/mahasiswi turun mengundi pada Pilihan Raya Kampus (PRK) Pemilihan Majlis Pewakilan Pelajar (MPP) sesi 2022/2023 yang berlangsung pada 30 November 2022.
Seramai 15 calon umum
dan 30 calon fakulti bertanding untuk merebut 9 kerusi umum dan 18 kerusi
fakulti.
Keputusan pemilihan MPP ini berpihak kepada Farah Baharudin, mahasiswi tahun tiga dari Fakulti Sains dan Teknologi yang bertanding untuk Kerusi Umum dengan memperoleh undian tertinggi iaitu sebanyak 7,796, diikuti seorang lagi calon Kerusi Umum iaitu Shamsul Aiman Mua'mar Shamsul Bahrin, juga mahasiswa tahun tiga dari Fakulti Pengajian Bahasa Utama yang memperolehi sebanyak 7237 undian.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP)
Ini sekali gus menunjukkan majoriti suara mahasiswa telah
memberi kepercayaan kepada mereka sebagai 'orang tengah' yang akan mewakili
suara mahasiswa di Dewan Senat Universiti bersama ahli-ahli pengurusan USIM,
dalam membangunkan agenda universiti serta sebagai 'semak dan imbang' keputusan
yang dicapai terutama yang melibatkan peranan dan penglibatan mahasiswa.
Pengumuman keputusan rasmi oleh Naib Canselor Prof. Ts. Dr.
Sharifudin Md Sharaani bersama pengurusan universiti disampaikan di Dewan
Kuliah Pusat Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah dengan kehadiran calon-calon
yang bertanding serta altras yang memberi sokongan hebat kepada calon
masing-masing.
Naib Canselor Prof. Ts. Dr. Sharifudin Md Sharaani turut
mengucapkan tahniah kepada semua calon dan pengundi yang telah menjalankan
tanggungjawab dan memastikan proses PRK ini berjalan lancar dan aman.
"Selepas ini kita akan berjumpa untuk bekerjasama dan berganding bahu meningkatkan kecemerlangan universiti, dan saya berharap amanah dan mandat yang diberikan ini dijalankan dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi," ujarnya lagi.
Sementara itu, calon yang mendapat undian tertinggi, Farah Baharudin menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua pelajar yang telah memberi kepercayaan kepada beliau dan berharap agar manifesto yang dirancang dapat dilaksanakan dengan sokongan daripada semua mahasiswa mahasiswi USIM.
Manakala bagi calon kedua tertinggi Shamsul Aiman Mua'mar
Shamsul Bahrin tidak menyangka mendapat undian yang tinggi dalam kalangan
mahasiswa. Beliau mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Dekan yang telah
mencalonkan beliau dan beliau berhasrat agar dapat bersama-sama mahasiswa untuk
meningkatkan kecemerlangan dan kualiti universiti dan dapat melihat USIM
sebagai antara university terbaik di persada Asia Tenggara mahupun dunia.
Seramai 9644 mahasiswa daripada 11517 yang layak mengundi
telah menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pengundi bermula pada pukul 8:30
pagi sehingga 5:30 petang secara fizikal dan juga secara dalam talian menerusi
platform eUNDI.
Dalam pengundian tersebut, tiga fakulti mencatatkan peratusan mengundi tertinggi adalah Fakulti Pergigian iaitu sebanyak (100%), Fakulti Sains dan Teknologi (93.62%), dan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (90%). - KitaReporters