Jadikan pendidikan lebih inklusif, dinamik! Penyerahan peranti dalam Program Anak Kita: SPM 2025 UPSI!
Published by.
UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, dengan kerjasama Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Melaka (JPNM) komited meningkatkan kualiti pendidikan melalui insiatif penyerahan peranti Negeri Melaka Bagi Program Anak Kita: SPM 2025.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh,
berkata program itu adalah langkah penting dalam memastikan pendidikan pelajar
selari dengan kemajuan teknologi semasa.
Jelasnya, 713 pelajar dari 61 sekolah negeri Melaka akan menerima manfaat pengagihan tablet berkenaan sebagai sokongan untuk pembelajaran mereka.
"Saya amat berbesar hati berada di sini bersama-sama
pelajar yang bakal menerima manfaat daripada program ini.
“Peranti ini bukan sekadar alat, ia adalah simbol komitmen
kerajaan negeri untuk menyediakan kemudahan terbaik kepada pelajar dalam
mengejar kecemerlangan pendidikan mereka,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis
Penyerahan Peranti Negeri Melaka Bagi Program Anak Kita: SPM 2025 di Grand
Ballroom Hotel Mudzaffar, Ayer Keroh, Melaka, pada 16 Januari 2025.
Hadir sama Rektor IPGM yang menjalankan tugas TKPPM (Sektor
Pembangunan Profesionalisme), Dr Mohd Azam Ahmad; Timbalan Pengarah Pengurusan
Sekolah JPNM, Karim Tumin ;serta Pemegang Amanah dan Pengarah Urusan Yayasan
Hasanah, Siti Kamariah Subki
Ab Rauf berkata, pendidikan masa kini mengalami perubahan yang besar, berbeza dengan zaman persekolahan beliau yang hanya menggunakan kapur dan papan hitam, tetapi kini pelajar dapat mengakses pelbagai sumber ilmu di hujung jari mereka.
Menurutnya, dalam era digital, kemajuan teknologi memainkan peranan penting dalam membentuk cara kita belajar dan peranti digital kini menjadi satu keperluan, bukan hanya untuk akses bahan pembelajaran dalam talian, tetapi juga sebagai alat untuk mengasah kemahiran digital yang semakin relevan dalam dunia moden.
Antara pelajar sekolah yang hadir pada Majlis Penyerahan Peranti Negeri Melaka Bagi Program Anak Kita: SPM 2025.
Tambahnya, aplikasi seperti Google Classroom dan WhatsApp
telah menjadi platform utama dalam proses pembelajaran dan pengajaran, di mana
pelajar dapat berinteraksi secara langsung dengan guru serta mengakses tugasan
pembelajaran dengan lebih mudah.
"Oleh itu, usaha kerajaan negeri melalui program ini
adalah langkah yang tepat untuk memastikan pelajar dapat mengikuti perkembangan
teknologi dan memanfaatkan peranti untuk meningkatkan kualiti pembelajaran
mereka.
"Kami yakin bahawa dengan komitmen berterusan dalam
sektor pendidikan, kita akan dapat melahirkan generasi muda yang berdaya saing,
celik teknologi dan bersedia menghadapi cabaran masa depan," katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Unit Pantau Madani, Pejabat Perdana Menteri, Mohd Khalid Mohamed Latiff, memuji inisiatif berkenaan berikutan selaras dengan kerangka Ekonomi Madani.
Jelasnya, Program Anak Kita merupakan salah satu inisiatif utama kerajaan untuk memastikan tiada pelajar yang tercicir dalam sistem pendidikan negara kerana melalui kerjasama strategik antara pelbagai pihak, termasuk sektor swasta dan pertubuhan masyarakat sivil, kami berusaha meningkatkan pencapaian pelajar terutamanya bagi keputusan SPM.
Menurut beliau, penggunaan teknologi dalam pendidikan seperti aplikasi SideBook dan platform digital lain adalah langkah penting untuk membina keupayaan pelajar menghadapi cabaran masa depan yang didorong oleh kemajuan teknologi.
"Dengan sokongan ibu bapa dan pendidik, saya berharap peranti ini dapat digunakan secara optimum untuk meningkatkan mutu pembelajaran dan melahirkan generasi muda yang berdaya saing," ujarnya.
Ab Rauf Yusoh (tengah) bersama-sama wakil sekolah pada Majlis Penyerahan Peranti Negeri Melaka Bagi Program Anak Kita: SPM 2025 di Grand Ballroom Hotel Mudzaffar, Ayer Keroh, Melaka.
Manakala Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff,
berkata inisiatif penyerahan peranti itu adalah selaras dengan komitmen UPSI
untuk meningkatkan kualiti pendidikan di negara terutama di negeri Melaka.
Menurutnya, sebagai sebuah universiti pendidikan, UPSI
sentiasa mendukung usaha kerajaan dalam memastikan pendidikan dapat diakses
secara lebih inklusif dan dinamik.
Terangnya, penyerahan peranti itu bukan hanya bertujuan
mempermudah akses kepada bahan pembelajaran, tetapi ia juga memberi peluang
kepada pelajar untuk mengembangkan kemahiran digital mereka dengan lebih
meluas.
"Kami percaya bahawa teknologi adalah alat yang penting
dalam memperkasa proses pengajaran dan pembelajaran.
“Dengan menggunakan peranti, pelajar bukan sahaja dapat mengakses pembelajaran dalam talian, tetapi juga mempersiapkan diri mereka untuk menghadapi cabaran teknologi yang semakin pesat berkembang," ujarnya. - KitaReporters