Menerajui Pendidikan Menerusi AI! Persidangan Kebangsaan Eksplorasi Pendidikan UPSI! 8-10 Okt 2024!
Published byPENDIDIKAN memainkan peranan penting sebagai pendorong utama perkembangan masyarakat dan ekonomi. Dalam mencapai matlamat kerajaan untuk membawa perubahan positif dalam pendidikan, kecerdasan buatan atau AI memperkenal anjakan paradigma baharu dalam pendidikan, membawa potensi untuk merombak cara kita mengajar dan belajar.
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, proaktif dengan menjadi peneraju menerusi penganjuran Persidangan Kebangsaan Eksplorasi Pendidikan (PKEP) yang bakal diadakan pada 8 Oktober hingga 10 Oktober 2024 di Hotel Casuarina Meru, Ipoh, Perak.
Prof Suriani Abu Bakar
Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi),
UPSI, merangkap penasihat persidangan, Prof Dr Suriani Abu Bakar, PKEP
merupakan satu platform inovatif untuk meneroka dan menghuraikan peranan serta
potensi kecerdasan buatan dalam transformasi landskap pendidikan.
“PKEP menjelajahi hubungan sinergi antara pendidikan dan kecerdasan buatan, meneropong peluang baharu dan menangani cabaran yang mungkin timbul dalam melaksanakan teknologi itu dalam kalangan institusi pendidikan,” katanya.
Jelasnya lagi, revolusi digital memberikan impak yang
mendalam pada hampir semua aspek kehidupan, termasuk dalam dunia pendidikan.
Justeru itu, UPSI menyahut seruan kerajaan untuk menjadi peneraju AI dalam
bidang pendidikan di negara.
“Di era ini, kecerdasan buatan memainkan peranan sentral dalam merancang ulang cara kita mengakses, menyampaikan dan mengamalkan ilmu. PKEP mengambil peranan utama dalam membahas bagaimana kecerdasan buatan, sebagai peneraju utama inovasi teknologi, dapat menerajui perubahan dalam pendidikan bagi meningkatkan pengalaman pembelajaran,” tambah beliau.
Dr Nordiana Hamzah
Pengarah Pejabat Karang Mengarang yang juga Pengerusi PKEP, Dr Nordiana Hamzah, berkata bagi mencapai tujuan itu, wacana perkongsian ilmu hasil penemuan terkini berkaitan kecerdasan buatan khususnya melibatkan teknologi pendidikan menjadi fokus utama UPSI.
“Persidangan ini bertujuan untuk meningkatkan keterlihatan
jurnal terbitan UPSI di samping membuka peluang kerjasama dengan pelbagai
agensi bagi menaik taraf jurnal UPSI dengan tema "Menerajui Pendidikan
Menerusi Kecerdasan Buatan," ujarnya.
Menurut Dr Nordiana lagi, PKEP berperanan sebagai gelanggang
perkongsian idea dan pengetahuan, mempersatu pemikir terkemuka dalam
pendidikan dan teknologi untuk mengeksplorasi potensi terbesar kecerdasan
buatan dalam membentuk masa depan pendidikan.
“PKEP menampilkan dua pakar AI dalam pendidikan iaitu Prof Madya Dr Azizi Abd Aziz dari Universiti Utara Malaysia dan Prof Madya Dr Bahbibi Rahmatullah dari UPSI. Bengkel Penulisan Artikel Menggunakan Aplikasi AI akan dikendalikan oleh Dr Muhammad Fadzilah Zaini dari UPSI,” tambah Dr Nordiana.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persidangan I PKEP dan pakar dalam Pendidikan Multimedia dan Reka Bentuk Pembangunan Permainan, Dr Laili Farhana Md Ibrahim, berkata objektif PKEP termasuklah meneroka dan membentuk hala tuju inovatif dalam pendidikan yang diilhamkan oleh penggunaan kecerdasan buatan untuk meningkatkan kecekapan serta keberkesanan sistem pendidikan.
Menurutnya, PKEP bakal mengembangkan ilmu pengetahuan hasil
kajian dan penemuan melalui wacana merangkumi pelajar pascasiswazah, ahli
akademik, penyelidik, pengamal pendidikan dan industri dalam bidang pendidikan
selain membincangkan dan mencari penyelesaian bagi cabaran kelestarian dalam
pengintegrasian teknologi kecerdasan buatan di institusi pendidikan.
Katanya, PKEP bakal menyediakan peluang untuk berkongsi dan
mendokumentasikan penyelidikan terkini dalam konteks pembelajaran dan
pengajaran bagi memenuhi keperluan semasa yang bakal memarbatkan bidang
pendidikan negara.
“PKEP disasarkan kepada pelajar pascasiswazah universiti dan institusi pendidikan (awam/swasta), pensyarah universiti dan institusi pendidikan (awam/swasta), pegawai Kementerian Pendidikan Malaysia, pengamal industri berkaitan dan individu yang berminat di dalam atau luar negara,” ujarnya lagi.
UPSI menyahut seruan kerajaan untuk menjadi peneraju AI dalam bidang pendidikan di negara. - Gambar hiasan
Manakala Timbalan Pengerusi Persidangan II PKEP, Ahmad
Janatul Firdaus Dzulkarnain, berkata peserta boleh merujuk poster persidangan
untuk mendapatkan maklumat lanjut dan PKEP juga membuka peluang penerbitan
dalam jurnal terbitan UPSI (https://ejournal.upsi.edu.my) dan prosiding dengan
e-ISSN.
“Tarikh akhir penerimaan kertas kerja ialah pada 31 Ogos 2024, manakala tarikh tutup pendaftaran ditetapkan pada 30 September 2024.
"Peserta yang berminat untuk menyertai PKEP boleh menghubungi Dr Laili Farhana (017-5540815) atau Nor Azura Mustafa Bakri (019-8777973). Peserta juga boleh menghubungi Seksyen Penerbitan Jurnal, Pejabat Karang Mengarang, UPSI pada talian 05-4505437 atau e-mel kepada [email protected],” jelas Ahmad. - KitaReporters