Anak Kita inspirasi kerajaan Madani! UPSI bantu 5,387 pelajar Perak! Agih Kit Peranti dan Modul 3M!
Published by.
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, selaku rakan pelaksana bagi Program Anak Kita di Negeri Perak menjayakan Majlis Perasmian Program Anak Kita: Penyerahan Kit Peranti Sijil Pelajar Malaysia (SPM) 2025 dan Modul Membaca, Menulis dan Mengira (3M) Negeri Perak.
Majlis yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak, Khairudin Abu Hanipah itu menyaksikan 1,874 pelajar dari 141 sekolah menengah dan 3,513 murid dari 104 sekolah rendah di Negeri Perak menerima Kit Peranti dan Modul 3M.
Khairudin Abu Hanipah (dua dari kanan) melakukan gimit pelancaran Program Anak Kita.
Majlis penyerahan Kit Peranti SPM dan Modul 3M itu
berlangsung di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI pada 27 Januari
2025.
Berucap pada majlis itu, Khairudin berkata, program
berkenaan selaras dengan usaha Kerajaan Madani dalam memastikan pendidikan
berkualiti untuk semua dan tiada anak yang tercicir akibat kekangan teknologi
atau kekangan kewangan.
Menurutnya, bantuan kelas bimbingan, peranti, modul dan
pelan internet percuma selama setahun bagi pelajar sekolah menengah membantu
meningkatkan prestasi akademik, manakala penyediaan modul kepada murid
pemulihan sekolah rendah dan guru bitara sebagai guru sokongan kepada guru
pemulihan di sekolah.
“Bantuan ini cukup besar untuk membantu pelajar yang terbabit cemerlang dalam pelajaran manakala Program Anak Kita (PAK) adalah inisiatif Kementerian Kewangan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang diterajui Unit Pantau Madani dan Yayasan Hasanah dalam usaha menangani isu pemulihan pembelajaran dalam kalangan murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah,” katanya.
Khairudin melihat Modul 3M dengan diberi penerangan oleh Prof
Madya Dr Mohd Izwan Shahril (kanan).
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Zainal Abas, berkata Program Anak Kita adalah langkah yang terbaik untuk meningkatkan tahap pendidikan di Malaysia selari dengan usaha KPM.
Jelasnya, pelaksanaan program berkenaan adalah selari dengan
usaha KPM dalam agenda Reformasi Pendidikan yang menetapkan enam fokus utama
iaitu Pendidikan Digital, Bahasa (MBMMBI), Intervensi Kurikulum, Pendidikan
STEM, Pendidikan TVET dan Pendidikan Prasekolah, agenda Reformasi Pendidikan
oleh KPM itu juga selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.
Menurutnya, calon SPM 2025 di Negeri Perak yang menerima
manfaat pengagihan peranti tablet memperolehi peluang yang lebih baik untuk
mengikuti pembelajaran digital, manakala murid pemulihan terbabit pula yang
akan menerima lima naskah modul yang dirangka mengikut kemahiran pemulihan
murid.
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata
UPSI bukan sahaja diberi mandat untuk menjadi penyedia perkhidmatan bagi PAK:
SPM di Negeri Perak tetapi juga Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan
Sabah.
“UPSI komited untuk membantu meningkatkan tahap pendidikan
generasi yang akan menjadi pemacu negara pada masa hadapan, malah program ini
antara inisiatif yang terbaik oleh pihak kerajaan untuk memastikan tiada
keciciran dalam bidang pendidikan di Malaysia,” ujarnya.
Khairudin (tengah) bersama-sama penerima Kit Peranti dan Modul 3M di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.