Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus komited dalam menyokong alumni dan anak alumni untuk melanjutkan pengajian pada peringkat lebih tinggi menerusi Insentif Belajar Tanpa Henti yang diperkenal oleh Pusat Alumni, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMT. 

Insentif khas ini diperuntuk sebanyak RM10,000 setahun bagi membantu alumni yang menyambung pengajian pascasiswazah di UMT.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Izani Mohd Zain, dalam Majlis Perutusan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) 2025 baru-baru ini mengumumkan insentif itu diberikan secara one-off sebanyak RM400 kepada alumni yang menyambung pengajian pada peringkat sarjana dan RM500 kepada alumni yang melanjutkan pengajian pada peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan insentif kepada tiga penerima yang sedang melanjutkan pengajian pascasiswazah di UMT, iaitu Najahul Kamilah Aminy Sukri (PhD Penyelidikan dalam Pengurusan - Keusahawanan), Rahman Syahputra Syafruddin (Sarjana Sains Penyelidikan dalam Sains Marin - Biologi Marin) dan Muhammad Fikkri Zainal Efendi (Sarjana Sains Penyelidikan dalam Pemasaran).



Salah seorang penerima, Najahul Kamilah Aminy Sukri, menyifatkan bantuan ini sebagai suntikan semangat untuknya meneruskan dan menamatkan pengajian dengan lebih fokus. 

“Saya sangat berterima kasih kepada HEPA dan Pusat Alumni UMT atas inisiatif ini. Ia benar-benar membantu kami sebagai pelajar pascasiswazah,” katanya.

Beliau turut menggalakkan alumni UMT yang sedang menyambung pengajian pascasiswazah agar tidak melepaskan peluang untuk memohon bantuan ini.

Permohonan boleh dibuat dengan mengisi Borang Permohonan Tabung Kebajikan Alumni, yang boleh didapati melalui penyelaras alumni di setiap fakulti atau Pusat Alumni.

Dalam usaha memperkukuh sokongan kepada alumni, UMT turut memperkenal Insentif Jom Sambung Belajar @ UMT di mana anak alumni yang menyambung pengajian di UMT akan menerima bantuan one-off sebanyak RM200 bermula sesi akademik Oktober 2025.

Tambah Prof. Izani, inisiatif itu dijangka akan menggalakkan lebih ramai anak alumni untuk menyambung pengajian di UMT seiring dengan promosi Kempen Jom Masuk UMT yang sedang giat dijalankan. - KitaReporters/Kenyataan Media

12
6
0
23
0

Copy Link: