Pada Disember 2024 lalu, Program Emerging Women Leaders 2024 (EWL) berjaya menghimpunkan hampir 160 peserta wanita daripada pelbagai institusi termasuk UniKL, USIM, KPTM, dan Saito University College.

Program yang dianjurkan oleh Centre for Women Advancement and Leadership (CWAL) UniKL dengan kerjasama Akademi Kepimpinan Wanita Selangor ini bertujuan melahirkan pemimpin wanita masa depan yang berkualiti, berdaya tahan, dan berlandaskan nilai keseimbangan spiritual, emosi, serta intelektual.

Program ini dirangka untuk menangani cabaran masa depan yang semakin kompleks dengan melengkapkan peserta dengan kemampuan memimpin diri, komuniti, dan organisasi secara berkesan.

Pendekatan program ini mengintegrasikan elemen pembinaan karakter holistik melalui gagasan IMS, yang dicetuskan oleh figura inspirasi dan pemikir pembangunan nilai spiritual tanah air, Walid Ibrahim Al-Malik.



Prinsip ini menggabungkan nilai iman, kasih sayang, dan kesejahteraan sebagai asas melahirkan individu seimbang yang mampu memberi impak positif kepada masyarakat. 

Gagasan IMS menekankan keseimbangan aspek spiritual, emosi, intelektual, dan sosial, membentuk wanita yang bersedia mencorakkan perubahan positif dalam keluarga, komuniti, dan masyarakat.

Selari dengan semangat Rukun Negara, khususnya prinsip pertama, Kepercayaan kepada Tuhan, program ini menekankan keseimbangan rohani sebagai panduan kehidupan.

Prinsip Kesopanan dan Kesusilaan pula menjadi asas pembentukan adab dan akhlak, penting untuk melahirkan pemimpin wanita yang dihormati serta berupaya menyatukan masyarakat tanpa mengira perbezaan latar belakang agama, bangsa, pendidikan, politik, atau sosioekonomi.



“Tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia.” Pepatah ini menjadi inspirasi tema program, Self-Discovery, Healing, and Transformation, yang membuka peluang kepada peserta untuk meneroka potensi kepimpinan diri, memperkukuh keseimbangan mental, dan meningkatkan ketahanan emosi.

Ketua Pengarah Program, Nurhuda Mohamad Nazri, menegaskan bahawa gagasan IMS bukan sekadar falsafah tetapi panduan praktikal untuk memperkasa wanita.

"Wanita yang memiliki kekuatan dalaman melalui pendekatan holistik ini mampu menggoncang dunia ke arah kebaikan, membentuk generasi masa depan yang sejahtera," katanya.

Antara sesi unik dalam program ini adalah Natural Regenerative Therapy (NR Therapy), satu pendekatan inovatif yang membantu peserta mengatasi tekanan mental, menstabilkan emosi, dan meningkatkan keyakinan diri untuk memimpin dengan lebih tenang dan berkesan. Peserta turut berkongsi pengalaman positif sepanjang sesi ini.



"Sesi ini sangat membantu saya untuk menenangkan minda dan mendapatkan semula keyakinan diri. Saya rasa lebih tenang, dan beban di kepala saya hilang. Teknik ini mudah diamalkan di mana-mana. Saya pelajari cara untuk bernafas ketika panik, dan teknik ini sangat membantu menguruskan emosi,” ujar salah seorang peserta.

Secara keseluruhan, majoriti peserta merasakan bahawa program Emerging Women Leaders 2024 memenuhi jangkaan mereka. Malah, ramai yang menyatakan kesediaan untuk mencadangkan program ini kepada individu lain yang berminat dalam pembangunan diri dan kepimpinan.

Program ini membuktikan bahawa wanita yang diberdayakan dengan ilmu, ketahanan emosi, dan akhlak mulia mampu memimpin dunia ke arah kebaikan. Emerging Women Leaders 2024 bukan sahaja melahirkan pemimpin masa depan yang berkualiti tetapi juga mencipta gelombang perubahan dalam masyarakat, selaras dengan matlamat menjadikan wanita sebagai tunjang kepada kesejahteraan bangsa dan negara. - KitaReporters



15
12
0
13
0

Copy Link: