Sumbangan raya! MMU hulur sumbangan berjumlah RM235k! Kepada 446 penerima dari golongan memerlukan!
Published byProf. Mazliham Mohd. Su’ud menyampaikan bantuan raya kepada pelajar pada Majlis Iftar Perdana 2023, di kampus MMU Cyberjaya.
Universiti Multimedia (MMU) menghulurkan sumbangan berjumlah RM235,000 kepada golongan memerlukan bagi meringankan beban mereka melakukan persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Sumbangan berkenaan disampaikan kepada 446 penerima pada Majlis Iftar Perdana MMU 2023 yang diadakan di Surau Al-Hidayah kampus Cyberjaya dan Masjid Al-Irshad kampus Melaka masing-masing pada 12 dan 13 April 2023.
Para penerima bantuan raya tersebut adalah pekerja kumpulan sokongan yang merupakan golongan berpendapatan rendah yang tinggal di sekitar Sepang, Dengkil, Puchong dan Melaka disamping pelajar-pelajar dan kakitangan MMU daripada keluarga B40.
Mereka menerima ‘duit raya’ bernilai sekitar RM500 hingga RM1,500 setiap seorang atau setiap keluarga daripada Prof. Dato’ Dr. Mazliham Mohd Su’ud, Presiden MMU.
Prof. Mazliham berkata, sumbangan berkenaan bertujuan untuk mengurangkan beban kewangan mereka yang kurang bernasib baik menjelang perayaan itu.
“Dengan sedikit sumbangan daripada MMU ini, kami berharap ia dapat menceriakan sambutan Hari Lebaran mereka. MMU berasa gembira kerana dapat membantu supaya perayaan mereka nanti akan menjadi lebih bermakna dan meriah,” katanya.
Sumbangan Hari Raya Aidilfitri itu adalah daripada dana zakat Yayasan Universiti Multimedia (YUM) yang bermatlamat membantu golongan memerlukan meraikan perayaan tersebut.
Sementara itu, Elyna Abdullah, 29, dari Kampung Chemperai, Dengkil, melahirkan rasa lega dengan ‘duit raya’ yang diterima kerana ia dapat membantunya membeli baju raya dan barangan dapur untuk persiapan 1 Syawal.
“Sumbangan ini besar ertinya bagi saya sekeluarga. Saya bersyukur kerana ia dapat memeriahkan lagi Aidilfitri kali ini,” katanya.
Elyna Abdullah
Penerima lain, Said Razak Syafrizal, 21, pelajar Perakauanan dan kakaknya, Siti Nadya Syafrizal, 22, pelajar Reka Bentuk Interface, berasa gembira kerana menerima sumbangan kewangan tersebut yang meringankan perbelanjaan ibu bapanya dalam memberi baju raya dan peralatan lain untuk mereka berdua.
“Saya menyifatkan ini adalah rezeki Ramadan untuk perayaan 1 Syawal yang telah meringankan kos ibu bapa kami membuat persiapan hari raya,” kata Siti Nadya yang menambah, ayahnya bekerja di syarikat swasta manakala ibunya tidak bekerja.
Siti Nadya Syafrizal
Pada majlis iftar itu, lebih 1,000 pelajar dan kakitangan MMU bersama anggota masyarakat setempat menyertai majlis berbuka puasa di dua lokasi berasingan. Majlis itu merupakan acara tahunan itu bertujuan mengeratkan hubungan antara warga universiti dengan komuniti setempat.
Ia dianjurkan oleh Badan Kebajikan Islam Telekom Malaysia cawangan MMU (Bakit-MMU), YUM, Bahagian Sumber Manusia MMU, Surau Al-Hidayah dan Masjid Al-Irshad.
Pada majlis di Cyberjaya, syarikat IX Telecom Sdn. Bhd. menyampaikan sumbangan zakat berjumlah RM43,178.85, manakala Bank Islam (M) Berhad (BIMB) menyerahkan sumbangan zakat berjumlah RM10,000 kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melalui YUM, yang merupakan Penolong Amil Zakat MAIS.
Turut hadir pada majlis itu adalah Noor Mohd Helmi Nong Hadzmi, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) IX Telecom; Rosmawati Mohamed Zin, Pengarah Wilayah, Central 2 Region BIMB; dan Izad Ismail, Pengarah YUM. - KitaReporters/MMU
Noor Mohd Helmi Nong Hadzmi (kanan) menyerahkan sumbangan zakat kepada Izad Ismail dengan disaksaikan oleh Prof Mazliham Mohd. Su’ud pada Majlis Iftar Perdana di MMU Cyberjaya
Rosmawati Mohamed Zin (kanan) menyerahkan sumbangan zakat kepada Izad Ismail dengan disaksikan oleh Prof Mazliham Mohd. Su’ud pada Majlis Iftar Perdana di MMU Cyberjaya.