Video| Karnival 3K UUM: Program pembangunan mahasiswa! Dalam kebudayaan, kesenian, keusahawanan
Published byKarnival 3K UUM akan berlangsung selama tiga hari mulai 29 Mac hingga 31 Mac 2021.
Penganjuran Karnival Kebudayaan, Kesenian dan Keusahawanan (3K) pada saban tahun berupaya meningkatkan kemahiran dan hala tuju kepemimpinan pemimpin mahasiswa pada era globalisasi ini.
Karnival 3K yang bakal berlangsung pada 29 hingga 31 Mac 2021 ini merupakan program yang padat dengan aspek pembangunan pelajar, pemerkasaan, pemikiran kritis dan menanam semangat cintakan negara, di samping memelihara kebudayaan dan kesenian negara.
Lagi laporan-laporan menarik berkaitan UUM
Pengarah Karnival 3K, Faisal Nahar (kanan sekali) dan Prof Madya Dr Hendrik Lamsali (tengah) bersama poster karnival.
Karnival yang berkonsepkan hiburan dari rumah ini dijalankan secara dalam talian melalui platform sosial media adalah bersesuaian dengan keadaan masa kini di mana rakyat Malaysia telah terjejas oleh wabak pandemik Covid-19.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr. Hendrik Lamsali berkata, penglibatan mahasiswa dalam Karnival 3K ini merupakan wadah yang terbaik dalam mengekalkan dan mengeratkan hubungan antara kaum dan perpaduan.
Menurutnya, melalui karnival ini juga mahasiswa dan masyarakat akan lebih terhubung terutama dalam mempertahankan tradisi budaya dan kesenian yang terdapat dalam setiap etnik rakyat Malaysia.
Pertandingan Bintang Utara menawarkan hadiah wang tunai kepada pemenang.
Peluang menyertai pertandingan Tiktok.
"Kita memiliki mahasiswa yang pandai dan hebat dengan pelbagai bakat seni, begitu juga alumni universiti yang memegang jawatan besar dalam organisasi rata-ratanya turut mempunyai latar belakang seni, justeru saya berharap pelajar hebat ini dapat menerima perubahan tetapi tidak mengabaikan nilai budaya dan berpegang pada moto UUM iaitu Ilmu Budi Bakti," katanya.
Peluang melihat demontrasi masakan dan menyertai pertandingan Sintok King Chef.
Tambahnya lagi, mahasiswa akan berjaya dengan menerima perubahan, mempunyai kefahaman tentang keusahawanan, mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat dan mempunyai jati diri yang berasaskan nilai untuk berkhidmat kepada masyarakat.
“Mahasiswa perlu meneroka ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman sepanjang berada di universiti supaya apabila melangkah ke alam pekerjaan, mahasiswa mempunyai kualiti diri cemerlang, semangat daya saing yang tinggi dan pegangan serta amalan nilai yang kukuh untuk berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi,” jelasnya.
Bersama tetamu jemputan dalam forum ekonomi.
Sementara itu, Pengarah Pusat Budaya dan Seni (PBS), Asmawiza Hussin berkata, pelbagai aktiviti telah dirancang selama tiga hari seperti forum, program bersama alumni, bengkel dan pertandingan.
"Program tiga hari ini diharap dapat memberi pengetahuan dan ilmu mengenai kepelbagaian dan keunikan budaya, di samping membantu mempromosikan barangan atau produk daripada usahawan-usahawan yang terjejas akibat COVID-19," ujarnya lagi. - KitaReporters
Santai bersama Alumni UUM dan personaliti penerbit dan penyampai berita.