Dr Haim (dua dari kanan) menceritakan kisah satu pelayaran yang salah seorang ahli rombongannya adalah pelawak. Kepelbagaian watak akan menjadikan kisah kehidupan sangat menarik.


UNIVERSITI Utara Malaysia (UUM) di Sintok, Kedah buat pertama kali mengadakan usaha sama dengan media baharu portal berita Internet, KitaReporters sebagai rakan media dengan melancarkan Kelab Mobile Journalist KitaReporters Institusi Pengajian Tinggi (Kelab Mojo KitaReporters IPT) untuk wartawan di menara gading berkarya menulis dari hati dengan penuh kasih sayang.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UUM, Prof Dr Haim Hilman Abdullah berkata, ia sejajar dengan matlamat UUM mahu menjadi sebahagian cerita hebat dalam sejarah negara dalam melahirkan pelajar dalam bidang kewartawanan gelombang baru, membuat laporan berita dan video yang boleh menjadi kisah inspirasi serta tauladan.

Malah UUM mahu menjadi universiti yang pernah bersama dan turut memulakan gerakan bidang kewartawanan yang bukan lagi menjadikan kisah buruk sebagai berita hangat, sebaliknya wartawan yang boleh mengajak masyarakat bersyukur dengan nikmat hidup dan mengajak masyarakat mendekatkan diri kepada Penciptanya.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan wartawan

UUM mahu menjadikan warga universiti menulis bukan cara yang diajar oleh buku dari barat, kata Dr Haim.


Dr Haim berkata demikian selepas menutup Bengkel Asas Mobile Journalist (Mojo) sehari anjuran bersama Unit Komunikasi Korporat (Corp Comm) UUM dan Unit Latihan Jabatan Pendaftar UUM dengan kerjasama portal KitaReporters di Dewan Seminar Pusat Islam di Sintok, Kedah pada 9 November 2021. 

Ia dihadiri oleh lebih 50 pelajar, kakitangan, timbalan pengarah dan pensyarahnya. Jumlah peserta itu bagi mematuhi SOP dan program itu adalah yang pertama dijalankan oleh UUM selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan ke tahap empat. 

Turut hadir Pengarah Corp Comm UUM, Mohd Fairus Abd Majid; Timbalan Pengarah, UUM SELECT, Rasidah Rodzi; dan Timbalan Pengarah (Aktiviti) Pusat Kokurikulum UUM, Mejar Norzilah Aziz.

Kelab Mojo KitaReporters IPT diharapkan bakal jadi penghubung dengan portal KitaReporters yang berhasrat menjadi platform utama cerita-cerita universiti, kolej, kampus, pelajar dan pencapaian IPT.

UUM juga berhasrat akan menganjurkan anugerah kewartawanan bagi mengiktiraf karya-karya kewartawanan staf dan pelajar kampus di utara Semenanjung ini yang berkait rapat dengan pendidikan, alam sekitar, kisah insan, kepimpinan, aktiviti kampus, pencapaian universiti dan lain-lain.

"Saya melihat hasil program seperti seminar, bengkel, akitiviti, hasil penyelidikan yang dilaporkan melalui penulisan, video dan laporan perlu diberi pengiktirafan bukan sahaja kepada penganjur program malah kepada mereka yang bertindak sebagai wartawan, jurugambar dan juruvideo,” kata Dr Haim.

Beliau berkata, UUM mahu menjadikan gelombang baharu dalam kalangan pelajar jurusan kewartawanan yang menulis dengan penuh rasa kasih sayang, prihatin dan mengetengahkan laporan dengan cara yang lebih berbudi bahasa yang boleh memberi kesan positif kepada masyarakat.


Pelajar, kakitangan dan ketua jabatan di UUM yang mengambil bahagian dalam Bengkel Asas Mojo


Terlalu banyak kisah menarik yang boleh diketengahkan bermula dari kehidupan di kampung sehinggakan berkongsi kisah orang-orang tua yang penuh dengan pengalaman dan perjuangan hidup.

Dr Haim menyifatkan kerjasama dengan KitaReporters tepat masanya bila banyak akhbar arus perdana 'menutup' banyak sisipan akhbar membabitkan kegiatan varsiti dan kampus menyebabkan pusat pengajian tinggi tidak lagi mempunyai banyak pilihan untuk menyebarkan aktiviti universiti dan pelajar serta maklumat pengajian kepada masyarakat.

"UUM akan mengadakan MOU khas bersama KitaReporters sebagai rakan media bagi menjayakan usaha UUM mencipta gerakan gelombang baharu itu. Dengan mengketengahkan banyak kisah masyarakat terutama di kawasan kampung yang menyentuh hati masyarakat, sama ada menerusi tulisan dan video.

"Kita mahu memberi inspirasi kepada seluruh masyarakat menerusi garapan mudah dan cantik tentang anak-anak kampung mengapai impian mereka di menara gading dengan meninggalkan ibu bapa dan adik beradik. Semoga pengorbanan anak-anak ini menjadi pedoman," katanya.


Sesi soal jawab dengan Editor KitaReporters, Gamal Nasir Mohd Ali.


Dr Haim mahu pelajar kewartawanan UUM menulis dengan hati yang bersih, penuh kasih sayang bagi menggembalikan amalan budaya orang Melayu yang berkomunikasi penuh budi dan bahasa

"Ingatlah kalau mereka marah atau mahu menasihatkan masyarakat, mereka menggunakan pelbagai cara termasuk pantun, seloka dan peribahasa.

"Bayangkan orang-orang tua kita yang hidupnya 60, 70 tahun, banyaknya pengalaman dan pandangan mengenai kehidupan yang dilalui," katanya mengingatkan cerita yang baik itu boleh ditulis tidak kira sempadan bangsa dan agama.

Beliau memberi contoh bagaimana video cerita 'budak kampung' yang dirakam secara ringkas menangkap ikan di bendang atau sungai di kampung berjaya menarik jumlah jutaan penonton kerana kehidupan itu tidak dilalui orang bandar atau sekadar menggembalikan memori waktu kecil mereka yang pernah melalui kisah itu.


Apa itu Mojo, kata Pensyarah komunikasi massa UUM, Samsudin Oli Mohamed.


"Kita juga mahu pelajar ini menerapkan unsur-unsur penulisan nasihat, ketuhanan, kesyukuran kerana selama ini dalam buku-buku dari Barat mengenai kewartawanan tidak menyentuh mengenai ketuhanan kerana mereka hanya mahu mengutamakan untung rugi dan mencapai sasaran pemasaran.

"Sudah masanya kita masyarakat Islam menulis menerapkan unsur-unsur ketuhanan dan menjadikan bidang penulisan ini sebagai sesuatu yang boleh mengubah masyarakat menjadi lebih baik.  Kita mahu melahirkan wartawan yang hasil kerjanya memberi inspirasi dan setiap hasil karya mereka ditunggu-tunggu untuk dibaca oleh peminatnya.

"Kita menjadi penulis yang boleh membuatkan orang gembira dan bahagia. Bukannya melontarkan kata-kata yang membuatkan orang berduka dan bercelaru." katanya. - KitaReporters



Tekun mendengar ceramah bengkel.

12
15
0
2
0

Copy Link: