MINAT, semangat dan tekad untuk menambah baik rawatan kanser melalui radiologi dengan pelbagai penyelidikan, perkembangan dan peranan kepimpinan dalam fizik perubatan telah membawa kejayaan.

Malah, lebih membanggakan kajian yang dilakukan berjaya mendapat pengiktirafan menerusi IUPAP Young Scientist Award in Medical Physics (Anugerah Saintis Muda IUPAP bagi Fizik Perubatan) 2021 baru-baru ini. IUPAP ialah International Union of Pure and Applied Physics atau Kesatuan Antarabangsa bagi Fizik Tulen dan Gunaan.

Kini, Profesor Madya Dr Yeong Chai Hong (gambar bawah) merupakan saintis Malaysia pertama yang memenangi anugerah berprestij tersebut. 


Lagi kisah menarik berkaitan kejayaan sainstis



Dr Yeong dari Fakulti Perubatan, Universiti Taylor berkata, dia sangat berbesar hati menjadi individu pertama di Malaysia dan orang Asia Tenggara menerima anugerah berkaliber tinggi tahun ini. 

Sebagai pakar dalam perubatan nuklear dan radiologi intervensi, Dr Yeong bersama pasukan penyelidikannya memenangi anugerah itu menerusi kajian prosedur biopsi tisu yang lebih selamat serta menjimatkan dengan mencipta sistem pemacu laser jarum panas.

Inovasi beliau itu  mampu meningkatkan keselamatan dan meminimumkan komplikasi pendarahan semasa prosedur biopsi.



Bagi merealisasikan kajian itu, barisan penyelidik yang turut terlibat adalah terdiri daripada pelbagai pakar  termasuk pakar klinikal, ahli perubatan fizik, saintis fotonik, patologi dan biokimia.

"Untuk membentuk masa depan rawatan kanser dengan memberikan alternatif kepada pesakit, pada saat ini kami sedang berusaha untuk meningkatkan prototaip sehingga dapat digunakan secara serentak untuk ablasi tisu - rawatan barah invasif minimal," katanya.

Bagaimanapun menurut Dr Yeong, untuk tumor yang tidak ada penawar kesembuhan atau ketika pesakit tidak sesuai untuk jalani sesi pembedahan, terapi invasif minimum seperti terapi hipertermia  amat disarankan. 



Terapi hipertermia semasa adalah menggunakan sama ada radiofrekuensi, gelombang mikro, laser atau tenaga sejuk melampau (cryoablation) untuk mematikan sel pada tisu sasaran, sambil meminimumkan kerosakan pada tisu sihat di sekeliling.

“Hari ini, pesakit tidak memerlukan pembedahan terbuka dengan pembangunan inovatif ini dan kadar kejayaannya adalah memberangsangkan.

"Pembangunan itu diwujudkan untuk menjadikan rawatan kanser lebih berpatutan, kurang invasif dan lebih selamat, sekali gus meningkatkan kadar kelangsungan hidup pesakit kanser keseluruhan dan kualiti hidup penghidap di Malaysia,” kata Dr Yeong.



Sepanjang kerjayanya, Dr. Yeong telah menerima RM1.7 juta geran untuk tujuan penyelidikan.

Anugerah ini diterajui dan dibiayai IUPAP. Ia dianugerahkan oleh Organisation for Medical Physics atau Pertubuhan bagi Fizik Perubatan (IOMP), sebagai Suruhanjaya Antarabangsa untuk Fizik Perubatan dengan IUPAP.

IOMP mewakili lebih daripada 27,000 ahli fizik perubatan di seluruh dunia dan 87 organisasi anggota nasional yang dipegang bersama dengan dua organisasi gabungan.

Anugerah itu termasuk hadiah wang tunai €1,000 Euro (RM4,837), pingat IUPAP dan sijil IOMP.

Lebih menarik lagi, biografi pendek beliau akan diterbitkan dalam terbitan buletin e-Medical Physics World (e-Dunia Fizik Perubatan).

Sehingga kini, Dr Yeong adalah yang pertama dan satu-satunya rakyat Malaysia yang menerima anugerah berprestij ini.  Anak Malaysia memang hebat! - KitaReporters


7
8
0
12
0

Copy Link: