Memperkasa keselamatan jalan raya musim perayaan! USIM edar topi keledar dan tingkatkan kesedaran!
Published byDalam usaha meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya menjelang dan pasa musim perayaan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan Kempen Patuhi Keselamatan, Selamat Sampai ke Destinasi di AEON Mall Nilai pada 25 Mac 2025. Program yang mendapat sambutan luar biasa ini dihadiri lebih 200 peserta daripada komuniti setempat.
Kempen ini dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai, dan Yayasan Pencegahan Jenayah Daerah Nilai.
Antara aktiviti utama termasuk sesi taklimat keselamatan, pemeriksaan kenderaan percuma, serta pengedaran risalah keselamatan kepada orang awam.
Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada rakan strategik yang terlibat dan beliau mengatakan kempen ini bukan sekadar peringatan bermusim tetapi satu usaha berterusan untuk memastikan pengguna jalan raya lebih cakna terhadap aspek keselamatan.
“Sebanyak 60 buah topi keledar telah diedarkan hasil sumbangan beberapa pihak, dan saya berharap agar semua pengguna jalan raya sentiasa berhemah dan bertanggungjawab ketika di atas jalan raya, serta berhati-hati dan menjaga keselamatan ketika pulang ke kampung halaman.
“USIM berharap kempen ini akan membantu mengurangkan kadar kemalangan dan memastikan perjalanan pulang ke kampung lebih selamat untuk semua,” ujarnya lagi.
Selain meningkatkan kesedaran tentang keselamatan jalan raya, kempen ini turut menekankan aspek keselamatan jenayah bagi memastikan komuniti lebih peka terhadap ancaman sekeliling.
Yayasan Pencegahan Jenayah Daerah Nilai turut berkongsi tips keselamatan kepada orang ramai, termasuk langkah berjaga-jaga semasa meninggalkan rumah untuk pulang ke kampung.
Orang ramai yang hadir juga berpeluang berinteraksi secara langsung dengan pegawai keselamatan serta mendapatkan nasihat dan panduan mengenai pematuhan undang-undang jalan raya.
Dengan sambutan yang memberangsangkan, USIM merancang untuk meneruskan kempen sebegini sebagai satu program tahunan dalam usaha menyemai budaya keselamatan dalam kalangan masyarakat.
Program ini turut dihadiri Datuk Segar a/l Raman, Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Daerah Nilai; Hanif Yusabra Yusuf, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia Negeri Sembilan; Wan Kefli Hamid, Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Negeri Sembilan; Superintenden Abdul Malik Hasim, Ketua Polis Daerah Nilai; dan Azah Sulaiman, Pengurus Perhubungan Kerajaan Jabatan Komunikasi Korporat, AEON Co. (M) Bhd. - KitaReporters/USIM