Penyertaan kali pertama mewakili pertandingan universiti membawa tuah buat Muhammad Zamratur Rahman Yussri, pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) apabila dinobatkan sebagai johan pertandingan Sayembara Deklamasi Sajak Keluarga Perpaduan Terbuka IPT 2023 anjuran Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Tempat ketiga turut dimenangi Nurhidayatul Akmal Khairunnisa Amir Hamzah, yang juga pelajar USIM dari Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU). 

Mereka berdua adalah dari Kumpulan Puisi Kelab Penerbitan Kreatif Pusat Kebudayaan.



Muhammad Zamratur Rahman Yussri, pelajar tahun dua program Sarjana Muda Bahasa Arab dengan Komunikasi yang berasal dari Kuala Lumpur itu melahirkan rasa syukur dan gembira untuk berkongsi kemenangan ini bersama ibu bapanya.

”Persiapan memang tidak cukup dan agak tergesa-gesa sehinggakan waktu yang sempat saya peruntukan untuk latihan hanya lebih kurang seminggu bersama rakan seperjuangan Nur Hidayatul Akmal, yang turut mendapat tempat ke-3 dalam sayembara tersebut. 

"Saya amat terhutang budi kepada tenaga pengajar dari Pusat Kebudayaan USIM yang sanggup datang dari jauh hanya semata-mata untuk melatih kami berdua yang baru merangkak dalam dunia puisi,” ujarnya.

“Ketika di sekolah menengah, saya sangat aktif menyertai pertandingan berkaitan seni suara seperti pantun, sajak, pidato,dan dai siber. 

"Justeru, saya nasihatkan kepada setiap mahasiswa agar pasakkan dalam diri bahawa apa sahaja aktiviti persatuan atau pertandingan yang kita ceburi tidak mengganggu prestasi pembelajaran. Selain itu, sentiasa betulkan niat dan percaya bahawa usaha boleh ditiru, tetapi rezeki Allah yang beri.

“Semoga usaha dalam membina diri kalian agar menjadi insan yang lebih baik dan menambah nilai hamba kepada Sang Pencipta pada masa akan datang dipermudahkan, serta memberi manfaat kepada orang lain,” tambahnya.

Zamratur membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM250 berserta sijil. Tempat kedua pula dimenangi Aiman Afiq Ismail dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). - KitaReporters/USIM


 

8
14
0
14
0

Copy Link: