Pendidik pengubah generasi! UPSI terap BITARA! Bakat, Inovasi, Transformasi, Adab, Revolusi, Adaptasi!
Published byKONSEP BITARA menjadi landasan untuk Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim di Perak memacu kejayaan lebih cemerlang pada masa depan bukan sahaja peringkat nasional malah antarabangsa.
Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata
UPSI mengecapi pelbagai kejayaan hasil perasaan kasih sayang seluruh warganya
terhadap universiti pendidikan ulung negara itu.
Menurutnya, konsep berasaskan hasrat kebitaraan yang
bermakna bijak tanpa tara atau unggul iaitu BITARA iaitu Bakat Unggul (B); Inovasi dan Penyelidikan (I); Transformasi Teknologi (T); Adab, Akhlak ,
Akademik (A); Revolusi Ekosistem (R); dan Adaptasi Global (A) untuk menjulang
nama dan maruah universiti tercinta.
Jelas beliau, konsep itu selaras dengan gagasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar
Ibrahim agar setiap mahasiswa dan akademia harus
mampu “Menggapai ke Langit, Mengakar di Bumi” sebagai amanah yang perlu
dipikul UPSI.
“UPSI perlu bukan sahaja melahirkan pendidik malahan mengubah generasi seperti sumbangan legasi Pendeta Za’ba, Ibrahim Yaakub serta cendekiawan dan budayawan, Awang Had Salleh,” ujarnya ketika berucap sempena majlis Aspirasi Naib Canselor 2024 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah pada 7 Februari 2024.
Prof Dr Md Amin menyampaikan syarahan sempena majlis Aspirasi Naib Canselor.
Hadir sama pada majlis berkenaan, Pro Canselor, Tan Sri
Alimuddin Mohd Dom dan Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Prof Emeritus
Ir. Dr Sahol Hamid Abu Bakar.
Prof Dr Md Amin, berkata peranan universiti bukan sahaja
UPSI perlu melahirkan murabbi yang cemerlang akademik, beradab, berbudaya
dengan identiti keguruan yang bakal mengubah generasi hari ini yang dicabar
oleh teknologi kecerdasan buatan (AI).
Justeru menurutnya, aspirasi UPSI tahun ini dibentuk bagi
merealisasikan amanat Menteri Pendidikan Tinggi dengan memberi penekanan kepada
aspek mengungguli bakat, memperkukuhkan ekosistem pendidikan, mempelbagaikan
perkongsian baharu dalam perkongsian ilmu, mengantarabangsakan pendidikan
tinggi serta mempelbagaikan ekosistem.
Beliau turut mengimbas pelbagai kejayaan UPSI antaranya
penjanaan pendapatan akademik dan bukan akademik sebanyak RM119 juta, enrolmen
29, 213 pelajar pelbagai peringkat pengajian dan membuka tujuh pusat
antarabangsa bahasa Melayu sehingga berjaya mengubah stigma masyarakat terhadap
universiti.
Tambahnya, UPSI akan menjemput dua tokoh tersohor pendidikan antarabangsa
iaitu Prof Dr Howard Gardner dari Harvard University dan Prof John W. Creswell
selain akademia mengikuti latihan antarabangsa dan kursus berprestasi tinggi di
beberapa universiti terkemuka.
Antara akademia UPSI yang hadir pada majlis Aspirasi Naib Canselor 2024 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah pada 7 Februari 2024.
“Bagi meluaskan prasarana, UPSI kini giat membangunkan Pusat
Latihan di Meru Raya di Ipoh, Industri Dalam Universiti, Pusat Data Raya,
Sekolah Rendah Seri Budiman, Institut Tahfiz dan Turath Islami, Pusat Sokongan
Akademik Pelajar Atlet, Galeri Muzik Diraja, Projek Solar, Pusat Komuniti dan
Residen, Institut Bahasa Antarabangsa, Pusat Kesihatan, Pusat Kokurikulum, Pusat Boling, Driving Range
(Golf), Glamping Park, Taman Rusa, dan Cabin@Ujana bagi memperkasakan UPSI Edutourism,”
ujanya.
Prof Dr Md Amin, berkata dia menyaksikan warga akademia,
pentadbir dan pelaksana UPSI bersungguh-sungguh bertugas sehingga meningkatnya
kedudukan UPSI pada peringkat dunia, malah anak-anak mahasiswa yang
mempertahan, membela dan memelihara imej universiti sehingga dihormati
masyarakat.
Hari ini UPSI menjadi universiti pilihan pertama masyarakat
untuk melanjutkan pengajian, malah paling membanggakan apabila sepanjang tahun
lalu (2023), UPSI menerima 88 lawatan antarabangsa dan tempatan.
Jelasnya, ketika beliau berada di Tashkent, Uzbekistan
baru-baru ini, lebih membanggakan UPSI menjadi rujukan untuk khidmat konsultasi, selain pelbagai pihak
menjadikan UPSI sebagai penanda aras dalam pelbagai bidang.
“Selain kejayaan mendapat geran penyelidikan, kita harus
memikirkan bagaimana hasil penyelidikan dapat mengubah nasib anak bangsa dan
negara seperti dalam mengatasi masalah tidak minat terhadap bidang Sains,
Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) serta meningkatkan kualiti
pendidikan di negara ini.
“Saya beranggapan dalam meniti cabaran tahun 2024, UPSI perlu mengembalikan peranan dan keberadaannya dalam kalangan masyarakat dengan mengutamakan kecemerlangan dengan jiwa dalam melahirkan keilmuan dan pencetus idea baharu,” tegas beliau. - KitaReporters
Akademia UPSI yang hadir merakam kenangan sempena majlis berkenaan.