UniMAP laksana Suka@Perlis! Program siswa turun kampung! Perkasa baktisiswa dan KPT Prihatin Madani!
Published byPengembangan bakat dan penglibatan dalam komuniti adalah elemen penting yang semakin menjadi fokus utama semua pihak termasuk universiti yang aktif berperanan dalam membaik pulih dan memberi semula kepada komuniti tempatan.
Antara lainnya, ia diharap dapat membantu siswa universiti untuk menjana impak positif yang berterusan dalam masyarakat dan membentuk diri mereka sebagai individu yang berkesan dalam pemulihan sosial dan pembangunan komuniti.
Tidak terkecuali Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang buat julung kalinya melaksanakan program Siswa Turun Kampung@PerIis (Suka@Perlis) dengan penglibatan lebih 500 pelajar dari 19 institusi pendidikan termasuk dari United Kingdom, Thailand dan Indonesia.
Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UniMAP, Prof. Ts. Dr. Mohd Mustafa Al-Bakri Abdullah berkata, meskipun masih memberi fokus kepada elemen baktisiswa, penganjuran program ini turut memberi tumpuan terhadap empat elemen lainnya iaitu pengembangan bakat, penyelidikan dan inovasi, pemindahan dan perkongsian ilmu serta pengantarabangsaan (4P).
“Inisiatif ini tidak hanya memberikan impak besar kepada mahasiswa, tetapi juga kepada masyarakat yang terlibat dan ia juga adalah selari dengan hasrat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin iaitu KPT Prihatin Madani.
“Antara yang dilaksanakan ialah, pemeriksaan kesihatan, mengajar masyarakat dengan ilmu-ilmu kaedah pemasaran menggunakan perisian percuma dan TVET@Komuniti Madani yang membabitkan ilmu menukar minyak motosikal,“ ujarnya dalam satu kenyataan di Pauh Putra pada 12 September 2023.
Program Suka@Perlis turut dihadiri mahasiswa daripada institusi luar seperti Thaksin University, Thailand; Universitas Negeri Malang, Indonesia; dan dua daripada United Kingdom iaitu University of Lancaster dan Queen Mary University of London.
Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. LailatuI Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat hadir menyempurnakan majlis Pelancaran dan Penyerahan Tajaan Suka@Perlis di Kampus UniMAP. Turut hadir, Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli.
Mengulas lanjut, Mohd. Mustafa berkata, menerusi program ini, mahasiswa tidak hanya mengembangkan kemahiran sosial dan kepimpinan, tetapi mereka juga memahami realiti hidup masyarakat di kampung, yang membantu mereka menjadi individu yang lebih holistik dan kental.
Selain itu, jelasnya, ia juga merupakan platform terbaik untuk membantu meningkatkan personaliti mahasiswa melalui pengurusan acara, membina empati, kemahiran komunikasi yang lebih baik, kemahiran kepimpinan, penghargaan terhadap kepelbagaian budaya tempatan, dan kemampuan pemecahan masalah.
“Menerusi elemen penyelidikan dan inovasi serta pemindahan ilmu menjadi teras dalam Suka@PerIis, dapat dilihat para mahasiswa mampu menjalankan penyelidikan dan inovasi yang mendukung masyarakat kampung, terutama dalam aspek pemasaran perindustrian kecil.
“Penduduk kampung juga menyambut baik usaha ini yang mana ia membantu meningkatkan kemahiran pemasaran, kepelbagaian jualan, produktiviti perniagaan, dan kesedaran teknologi tempatan terutama menerusi penggunaan aplikasi Canva.
"Saya percaya ia dapat memberikan manfaat yang cukup besar kepada masyarakat kampung dengan meningkatkan ekonomi tempatan serta memberdayakan perniagaan kecil-kecilan di kampung-kampung Perlis,” jelasnya lagi.
Tambah beliau, SUKA@Perlis adalah bukti bahawa pendidikan tinggi tidak hanya tentang menghasilkan graduan, tetapi juga membentuk pemimpin yang menyumbang kepada pembangunan negara secara berkekalan. - KitaReporters/UniMAP