Program PerantiSiswa: 316k mahasiswa telah terima! Baki 51k lagi! 63k buat rayuan! 25k diluluskan!
Published byBERUNTUNGNYA mahasiswa hari ini menerima pemberian alat peranti yang disediakan percuma oleh kerajaan.
Sehingga kini, 10 Februari 2023, sebanyak 315,760 peranti telah diserahkan kepada penerima Program PerantiSiswa menurut Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD).
Menterinya, Ahmad Fahmi Fadzil berkata jumlah itu mewakili 86 peratus daripada 366,843 permohonan yang diluluskan, setakat ini.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan program PerantiSiswa
“Baki 51,083 penerima bakal menerima peranti masing-masing dalam tempoh terdekat dengan penyerahan akan dibuat berdasarkan dua kaedah.
"Bagi mempercepat pengagihan itu, penjadualan pengagihan ke institusi penerima akan disegerakan,” katanya dalam kenyataan, yang dikeluarkan pada 9 Februari 2023.
Bagi memudah mahasiswa, Fahmi berkata Pusat Pengagihan PerantiSiswa (PPPs) akan digerakkan serentak di seluruh negara dengan sesi pertama akan berlangsung pada 17 hingga 19 Februari 2023 ini.
"Ia diikuti sesi kedua pada 24 hingga 26 Februari, manakala sesi ketiga antara 3 hingga 5 Mac 2023 di pelbagai institusi pendidikan tinggi (IPT) ditentukan di setiap negeri," katanya lagi.
Fahmi menjelaskan pihaknya sebelum ini, menerima 63,000 rayuan bagi mendapatkan peranti menerusi Program PerantiSiswa selepas tarikh permohonannya ditutup pada 31 Disember 2022 lalu.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 25,000 rayuan diluluskan manakala baki 38,000 rayuan lagi sedang diteliti IPT masing-masing.
Mahasiswa kini juga lebih fleksibel boleh memilih lokasi pusat agihan tanpa mengira lokaliti institusi penerima asal.
"Ini bermaksud pelajar sedang bercuti, menjalani latihan industri atau apa-apa sebab berkaitan dapat mengambil peranti di PPPs berhampiran yang menjadi pilihan masing-masing," katanya lagi.
Mahasiswa kini boleh mengakses melalui akaun platform sama semasa permohonan dikemukakan menerusi pautan hhtp://perantisiswa.kkd.gov.my, mulai sekarang.
Jom kita semak! Semoga peluang dan ruang yang disediakan mampu memudahkan 'perjalanan' di kampus terutama pembelajaran dalam talian . - KitaReporters