Pelajar ILP Kangar memenuhi surau untuk solat tarawih.

Enam pelajar Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kangar telah dilantik sebagai imam dan bilal bagi solat tarawih sepanjang bulan Ramadan, sebagai satu inisiatif untuk membentuk sahsiah pelajar serta mengasah kepimpinan mereka dalam aspek keagamaan.

Pengarah ILP Kangar, Ts. Mohd Yusri Mohd Rahim, berkata pelantikan ini bukan sekadar memberi peluang kepada pelajar untuk memimpin solat tetapi juga sebagai latihan membina keyakinan diri serta memupuk tanggungjawab sebagai seorang Muslim.



"Kami di ILP Kangar bukan sahaja menekankan kemahiran teknikal dalam latihan industri, tetapi juga memberi perhatian kepada pembentukan jati diri dan nilai spiritual dalam kalangan pelajar.

"Peluang ini bukan sekadar untuk mereka memimpin solat tetapi juga untuk meningkatkan keyakinan diri serta tanggungjawab sebagai seorang Muslim," katanya.


Ts. Mohd Yusri Mohd Rahim (tengah) bersama pelajar ILP Kangar yang dilantik menjadi imam dan bilal.

Ts. Mohd Yusri turut menegaskan bahawa pemilihan imam dan bilal dibuat berdasarkan kelayakan serta kebolehan mereka dalam mengimamkan solat dengan baik.

Menariknya ada dalam kalangan pelajar yang telah menghafaz 30 juzuk al-Quran, menjadikan mereka lebih bersedia untuk menggalas amanah tersebut.

"Kami berharap pengalaman ini akan menjadi satu kenangan berharga buat mereka, bukan sahaja pada bulan Ramadan tetapi juga dalam kehidupan mereka selepas ini. Ini adalah satu latihan kepimpinan yang berteraskan nilai Islam," tambahnya.


Ts. Mohd Yusri menunjukkan poster Program TVET Tahfiz yang dianjurkan di ILP Kangar.


Selain itu, beliau menggalakkan semua warga ILP Kangar untuk bersama-sama memanfaatkan bulan Ramadan dengan menghadiri ibadah solat tarawih secara berjemaah serta mengambil peluang untuk meningkatkan ilmu agama melalui sesi tazkirah yang diadakan.

"Sesungguhnya institusi ini yang memperkasa pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) melalui Program TVET Tahfiz dengan kerjasama Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) membuktikan kelahiran imam dan bilal yang dilantik ini,” sambung Ts. Mohd Yusri lagi. - KitaReporters


Carta tugasan Imam dan bilal sepanjang Ramadan 1447H/2025M ini.

7
13
0
12
0

Copy Link: