Prof Dr Mohd Foad Sakdan. 


Siswa baharu Program Asasi Pengurusan Sesi 2023/2024 diingatkan supaya belajar daripada semangat ulama terdahulu yang mementingkan adab dalam menuntut ilmu.

Naib Canselor UUM, Prof Dr Mohd Foad Sakdan berkata, sesungguhnya tidak bermakna kecemerlangan akademik tanpa disertai dengan adab.

Katanya, tidak berkat ilmu seseorang itu jika dia tidak beradab kerana ia ibarat akal yang dikuasai emosi.


Bacaan ikrar pelajar baharu.

Abdul Hannan Abdul Halim mengetuai bacaan ikrar. 


“Saling menghormati itu penting kerana itulah bukti seseorang itu berilmu dan beradab mulia walaupun menempuhi pelbagai kesusahan sehingga berpuluh-puluh tahun lamanya semata-mata mahukan ilmu yang dicari itu berkat dan boleh dimanfaatkan,” ujar beliau lagi ketika berucap sempena majlis ikrar pelajar baharu yang berlangsung di Dewan Seminar, Pusat Konvensyen universiti ini pada 31 Julai 2023.

Beliau menambah pemilihan untuk menyambung pengajian di universiti ini pastinya dilihat sebagai langkah bijak kerana UUM bukan sahaja terkenal dengan program pengajian pengurusan terbaik dunia dan penyediaan fasiliti yang cukup lengkap kepada pelajarnya.

Tetapi UUM juga diiktiraf sebagai universiti ke-95 terbaik dunia di bawah usia 50 tahun oleh Times Higher Education (THE) Young University Rankings 2023, sekali gus meletakkan UUM sebagai universiti awam nombor satu terbaik di Malaysia dalam penarafan tersebut. 


Pelajar-pelajar baharu asasi UUM menyertai bacaan ikrar.

Oleh itu beliau mengesa supaya semua pelajar menunjukkan komitmen yang tinggi dan berusaha untuk menamatkan pengajian dalam masa tiga semester untuk 14 kursus seperti yang ditawarkan.

“Manfaatkan peluang yang ada di UUM dengan sebaik mungkin serta menghadiri kuliah dan siapkan tugasan yang diberi termasuk aktif dalam melibatkan diri dengan aktiviti dalam persatuan pelajar, komuniti dan keusahawanan juga,” sambungnya.

Di majlis itu beliau turut menyaksikan bacaan ikrar yang diketuai Abdul Hannan Abdul Halim. - KitaReporters


Pendaftar UUM, Ahmad Rashidi Abdullah (dua dari kanan) menerima aku janji daripada Abdul Hannan Abdul Halim.


10
13
0
9
0

Copy Link: