UPM nak perkenal rock melon varieti sendiri! Hasil baik Program Tanaman Rock Melon Varieti Glamor!
Published byFAKULTI Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menanam 620 pokok rock melon (cantaloupe atau tembikai wangi) bagi Program Tanaman Rock Melon Varieti Glamor yang dibiayai sepenuhnya oleh eDu-Park yang merupakan satu bahagian di Putra Science Park atau Taman Sains Putra (PSP) UPM untuk program pelancongan pendidikan yang berasaskan pengalaman secara pembelajaran (experiential learning), Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (Wazan), UPM.
Projek ini dimulakan pada 14 Jun 2022 lalu dan telah berjaya dituai hasil buah rock melon sebanyak 300 biji setakat ini di Ladang 10 di UPM.
Naib Canselor UPM Profesor Datuk Dr Mohd Roslan Sulaiman berkata, penuaian hasil buah rock melon itu memberikan hasil yang sangat baik kepada UPM untuk menjana pendapatan dan juga membantu pelajar UPM menambah pendapatan sambil menimba ilmu.
"Sebanyak 620 pokok buah melon varieti glamor ditanam di Ladang 10 oleh Fakulti Pertanian yang sangat berkualiti dan dijamin sangat manis.
"Projek ini adalah satu usaha yang sangat baik untuk menggalakkan semua pelajar UPM menceburi bidang pertanian walaupun bukan dari Fakulti Pertanian sambil bekerja dan menimba ilmu keusahawanan dalam bidang ini kerana permintaan tinggi terhadap buah rock melon," katanya.
Lagi cerita-crita menarik berkaitan buah tembikai
Sementara itu, Pengarah PSP UPM, Prof. Ir. Dr. Kamarul Arifin Ahmad berkata pihaknya berasa sangat gembira dengan hasil tuai yang dikeluarkan oleh tanaman rock melon kerana hasilnya sangat memberangsangkan.
“Mungkin selepas ini kita boleh terus memberikan sokongan kepada tanaman ini supaya menjalankan aktiviti ini lagi malah menambahkan rumah hijaunya lagi.
"Perancangan masa hadapan ladang rock melon mungkin kita boleh approach pensyarah-pensyarah yang ada membuat penyelidikan tentang rock melon supaya kita boleh jenamakan rock melon seperti durian.
“Contohnya durian ada Musang King dan sebagainya. Jadi kita cuba untuk brandkan rock melon dan jadikan harta intelek untuk melindungi aktiviti penyelidikan yang dijalankan supaya orang lain tengok dan tahu bahawa ini adalah produk UPM dan itulah tugas PSP melindungi harta intelek,” katanya.
Program eDu-Park adalah inisiatif inovatif oleh UPM untuk membawa komuniti kepada inovasi dalam bidang pertanian, sains, teknologi dan kehidupan dalam cara yang menarik dan mesra orang ramai.
Pelawat berpeluang untuk meneroka dunia akademik Universiti Penyelidikan Malaysia dan menimba pengetahuan dari pakar dalam suasana pelancongan. - KitaReporters