Syabas USIM! Program Kembara Adha ke Bumi Kemboja! Ibadat korban, santuni penduduk Kampung Tuek Thla!
Published bySebanyak sembilan ekor lembu dan empat ekor kambing disumbangkan oleh Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Yayasan Al-Abqari, Surau Makrifah dan RHB Bank melalui Program Kembara Adha ke Bumi Kemboja bagi menjalankan ibadah korban untuk masyarakat Islam di Kampung Tuek Thla, Kemboja.
Kira-kira 600 penduduk kampung bersama 34 mahasiswa, dua orang pegawai pengiring PALAPES USIM serta empat orang wakil dari Yayasan Al-Abqari bergotong-royong menyediakan juadah bagi memeriahkan sambutan Aidiladha di Kemboja.
Timbalan Komandan PALAPES USIM Rozaimi Kamarudin yang mengiringi pasukan ini berkata, kerja-kerja penyembelihan lembu dan kambing korban dimulakan seusai solat sunat Aidiladha di Masjid Kampung Tuek Thla.
“Biarpun di Malaysia ibadah korban dilakukan di merata tempat, namun pengalaman menyambut hari raya korban di negara luar seperti Kemboja memberi keseronokan yang sukar diungkap dengan kata-kata," katanya.
Jelasnya
lagi, kehidupan penduduk di sini ibarat “kais pagi makan pagi,kais petang makan
petang” kerana majoritinya bekerja sebagai petani dan nelayan di kampung.
Kehidupan mereka sangat daif dan adakalanya mereka hanya mampu menjamah nasi sekali
sehari.
“Paling menyentuh hati apabila melihat anak-anak di sini membesar tanpa mendapat pendidikan yang sempurna ditambah lagi dengan persekitaran kawasan kampung yang tidak mempunyai kelengkapan infrastruktur yang sempurna.
"Di samping itu, anak-anak ini juga perlu melalui kawasan jalan tidak berturap yang mengambil masa hampir satu jam untuk ke sekolah demi mendapatkan pendidikan yang boleh mengubah nasib mereka,” tambah Rozaimi.
Kedatangan warga USIM ke bumi Kemboja disambut meriah oleh Isteri Timbalan Perdana Menteri Kemboja, Lok Jumteav Moa Malai; Gabenor Banteay Meanchey, Oum Reatrey; President of Serey Sophon City, Sreng Sophol; dan President of Prison, Ung Siphan.
Selain itu , tokoh-tokoh masyarakat setempat juga hadir bagi meraikan delegasi USIM dengan menyediakan makan malam bersama penduduk.
Sementara
itu, Pengerusi Lembaga Pengarah USIM, Dato’ Seri Dr
Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang turut sama hadir dan
menyempurnakan penyembelihan berkata,
tujuan utama program ini diadakan adalah untuk membantu penduduk di kawasan
pedalaman Kemboja, sekali gus memberi peluang kepada mereka yang beragama Islam
untuk merasai kenikmatan Aidiladha.
Beliau berkata, kedaifan yang dialami penduduk menyebabkan mereka jarang merasai daging lembu berbeza dengan rakyat Malaysia yang mana kehidupannya jauh lebih baik.
“Kali ini kami bekerjasama dengan pihak PALAPES USIM dan saya berharap mereka dapat mengambil peluang untuk merasai sendiri pengalaman dan kesusahan penduduk di sini," ujarnya.
“Melihat kesusahan yang dialami sudah cukup untuk membuatkan air mata kita menitis apatah lagi mereka yang mengalaminya sendiri. Bayangkan kemudahan asas seperti elektrik, bekalan air bersih , sekolah dan sebagainya tidak disediakan di kampung berkenaan," katanya.
Menurut Dr Zulkifli lagi, beliau memuji sikap rakyat Malaysia yang pemurah dan sedia membantu kerana tanpa sokongan mereka program ini tidak berjaya dilaksanakan.
Sepanjang berkampung di Tuek Thla, mahasiswa USIM mengambil kesempatan yang ada untuk membantu menyumbangkan tenaga dan bantuan yang semampunya kepada masyarakat di sini, termasuklah bantuan sumbangan tabung pendidikan dan sebagainya. - KitaReporters/USIM