Bila ABAH Bersuara| Mampukah dibendung gejala ponteng peperiksaan? Masalah sekolah atau sikap pelajar?
Published by
Gambar hiasan. - Utusan Digital
DEBARAN menanti keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 sudah berlalu. Keputusan yang diumumkan pada 27 Mei 2024 lalu menyaksikan 11,713 pelajar berjaya cemerlang dengan memperoleh A dalam semua mata pelajaran.
Kini calon berdebar
menunggu keputusan permohonan melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi. Ribuan
pelajar bersaing untuk mengisi tempat terhad. Keputusan memasuki program
matrikulasi Kementerian Pendidikan telah pun diumumkan pada 20 Jun lalu.
Selainnya
masih menunggu keputusan memasuki institusi pengajian tinggi (IPT) melalui Unit
Pusat Universiti, dijangka diumumkan pada 28 Jun 2024 ini. Mungkin ada yang memilih
mengikuti program pengajian asasi, diploma atau memasuki politeknik yang
menawarkan pelbagai bidang pengajian.
Ada yang mohon mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di institut pendidikan guru (IPG) selama lima tahun. Tidak kurang ramai memohon program pendidikan vokasional dan teknikal (TVET) yang makin popular di negara ini. Program menjurus kepada penyediaan tenaga terlatih untuk memenuhi keperluan pasaran kerja.
Kepada calon-calon terlibat diucapkan selamat maju jaya. Semoga mereka akan memperoleh tawaran mengikuti kursus yang dipilih. Kepada yang tidak berjaya jangan susah hati. Ada banyak lagi bidang lain boleh diterokai demi masa depan. Ramai berjaya dalam hidup walau pun tidak memiliki diploma atau ijazah asalkan rajin berusaha.
Di sebalik kejayaan cemerlang calon dalam peperiksaan SPM 2023, satu perkara yang menarik perhatian penulis serta wajar dijadikan renungan bersama ialah 10,160 calon tidak hadir peperiksaan SPM 2024 daripada jumlah 383,685 calon keseluruhan.
Jumlah ini
bukan sedikit, hampir menyamai jumlah calon yang memperoleh kejayaan cemerlang.
Bezanya satu kelompok berjaya mencipta nama dalam akademik, satu kelompok lagi
mencipta nama ponteng peperiksaan.
Ponteng SPM
2023 membawa erti calon langsung tidak hadir peperiksaan walau untuk sehari dan
tidak menduduki walau satu pun kertas peperiksaan. Kerana itu tidak perlu
meneka lagi kedudukan mereka dalam peperiksaan berkenaan. Pastinya gagal.
Kenapa
begitu ramai ponteng peperiksaan? Faktor utama yang terlintas di fikiran ialah
mereka ini golongan memang tidak berminat dengan pelajaran, apa lagi mahu
bersusah payah memikirkan untuk mencapai kecemerlangan.
Bagi mereka
datang peperiksaan atau tidak, tidak ada beza. Lulus atau gagal tidak peduli.
Sikap ini mungkin telah lama menebal dalam diri. Kerana itu kedatangan mereka
ke sekolah sebenarnya bukan untuk belajar tetapi sekadar memenuhi masa, atau
disebabkan kemahuan ibu bapa.
Begitu
tinggi semangat ibu bapa mahukan anak berjaya tetapi sayangnya anak sendiri
tidak minat. Prestasi akademik menyedihkan, kebanyakannya penghuni kelas
belakang. Kelompok ini sering dikaitkan dengan pelanggaran disiplin sekolah,
termasuk ponteng.
Tidak diketahui ketika peperiksaan ibu bapa tahu atau tidak anak mereka tidak hadir. Mungkin anak-anak ini berpakaian lengkap dan menuju ke sekolah kononnya untuk peperiksaan. Ibu bapa berandaian mereka menduduki peperiksaan tetapi rupa-rupanya menyimpang ke tempat lain.
Tipu daya anak-anak ini hanya diketahui apabila keputusan peperiksaan diumumkan. Betapa terkejutnya ibu bapa apabila tahu anak-anak ponteng. Rasa marah, sedih dan sayu hati berbaur kerana anak yang diharap telah memusnahkan harapan tersebut.
Sementara
Kementerian Pendidikan dikatakan akan berusaha mencari jalan mengatasi perkara
ini dengan mengadakan libat urus dengan pihak berkaitan, ia dilihat satu proses
yang rumit. Bukan mudah mengubah sikap mereka yang memang tidak berminat dengan
pelajaran.
Potensi
untuk mereka tidak peduli dengan peperiksaan boleh dilihat daripada sikap
seharian di sekolah. Tidak minat belajar, kerap ponteng sekolah, kerap
melanggar disiplin adalah tanda-tanda mengabaikan pelajaran yang seterusnya
menjurus kepada ponteng peperiksaan.
Mampukah dibendung gejala tidak minat belajar dan ponteng peperiksaan? Tiada halangan cuba mengubah sikap pelajar degil ini. Mungkin libat urus atau kaunseling mampu membuahkan hasil walau pun sedikit. Pelajar itu sendiri yang perlu berubah sikap. Itu pun jika mahu! - KitaReporters