Jom Ke Sekolah! Madani komited bantu rakyat yang memerlukan! Dapat tingkatkan motivasi murid-murid!
Published bySelain turun padang mendengar keluhan dan masalah rakyat, Program Jom ke Sekolah bukti Kerajaan Madani komited membantu rakyat yang memerlukan.
Malah, ia juga menjadi bantuan tambahan kepada rakyat selain Bantuan Awal Persekolahan, kenaikan gaji minimum, pelarasan gaji penjawat awam, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan menyatakan bahawa, "Bantuan ini merupakan inisiatif Kerajaan Madani bagi meringankan tanggungan ibu bapa terutama golongan B40 dalam membuat persiapan kembali ke sekolah untuk anak-anak pada tahun ini.
"Insentif ini diharap dapat memberi manfaat kepada mereka untuk membeli kelengkapan sekolah seperti baju, kasut, dan beg sekolah mengikut kesesuaian masing-masing," katanya lagi.
Dr. Zulkifli berkata, bantuan kelengkapan persekolahan bernilai sebanyak RM175 seorang kepada murid sekolah rendah dan menengah itu untuk meningkatkan kualiti dan pencapaian pendidikan terutama mereka yang kurang bernasib baik.
Pada program itu, seramai 500 pelajar di sekitar Batang Kali menerima bantuan melibatkan peruntukan berjumlah RM87,500.
Menurut Dr. Zulkifli, penyampaian bantuan persekolahan tersebut sekurang-kurangnya dapat membantu meningkatkan motivasi murid-murid yang tidak berkemampuan untuk menjalani sesi persekolahan baharu sama seperti mereka yang lain.
"Selepas Temerloh, Kuala Pilah, Batang Kali, dan Behrang, program ini akan diteruskan ke Port Dickson pula dengan sasaran semua penyerahan selesai sebelum sesi persekolahan 2025 bermula tidak berapa lama lagi," katanya.
"Inilah semangat #MadaniMembantu yang cakna dan prihatin dengan keperluan masyarakat terbanyak," katanya mengulas usaha kerajaan mengurangkan beban para ibu bapa.
Zulkifli berkata demikian selepas hadir merasmikan majlis penyampaian bantuan persekolahan kepada keluarga asnaf di sekitar Batang Kali menerusi program Jom Ke Sekolah 2025 di Dewan Orang Ramai, Batang Kali, Selangor pada Khamis, 13 Februari 2025.
Pada Jumaat, 14 Februari 2025 pula, beliau juga menyerahkan bantuan persekolahan yang serupa kepada 500 lagi pelajar daripada keluarga asnaf di sekitar Behrang menerusi program Jom Ke Sekolah 2025 di Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS).
Program tersebut anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan ABIM Perak dengan kerjasama dan tajaan dari Yayasan Taqwa - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Dr Zulkifli dalam rangka jelajah Ziarah Madani dan Program Jom Kembali ke Sekolah di beberapa buah negeri antaranya Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Selangor. - KitaReporters/Kenyataan Media
Program Jom Ke Sekolah di Batang Kali pada 13 Februari 2025.
Program Jom Ke Sekolah di Behrang pada 14 Februari 2025.