Perhebat keselamatan online! UMT giat sebar maklumat langkah pencegahan! Elak jadi mangsa penipuan!
Published byKerajaan Malaysia Madani, menerusi agensi pemantauan dan penguatkuasaannya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memastikan aspek keselamatan dalam talian (online) untuk seluruh rakyat diutamakan.
Isu keselamatan ini termasuk keperluan melindungi kanak-kanak dan kumpulan rentan serta menangani jenayah siber seperti penipuan online, pedofilia dan pembulian online.
Sehubungan itu, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) giat menyebarkan kempen kesedaran keselamatan online atau siber sebagai langkah pencegahan daripada terus menjadi mangsa penipuan serta kecurian data peribadi dalam kalangan masyarakat.
Usaha itu sebahagian daripada inisiatif Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) UMT di bawah inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk meningkatkan kesedaran pelajar dan masyarakat tentang ancaman siber yang semakin berkembang serta memperkukuh keselamatan digital.
Ts. Dr. Muhammad Suzuri Hitam
Menurut Dekan Fakulti Sains Komputer dan Matematik UMT, Profesor Ts. Dr. Muhammad Suzuri Hitam, Program Kesedaran Keselamatan Siber UMT itu menggabungkan teori keselamatan siber yang dipelajari dalam kelas dengan pengalaman sebenar melalui interaksi bersama komuniti.
“Program ini kita tekankan kepada ancaman siber seperti serangan phishing, malware dan langkah keselamatan data.
“Selain ceramah, program ini turut menyediakan aktiviti interaktif seperti simulasi serangan siber, bengkel keselamatan data dan sesi perkongsian bersama pakar.
"Peserta juga diberi peluang untuk memahami cara mengenal pasti ancaman siber serta langkah-langkah melindungi diri secara praktikal,” jelas beliau.
Dr. Waheed Ali Hussein Mohammed Ghanem.
Sementara itu, pensyarah FSKM UMT, Dr. Waheed Ali Hussein Mohammed Ghanem turut mengingatkan para peserta tentang pentingnya mengambil langkah berjaga-jaga dalam dunia digital.
"Kesedaran keselamatan siber adalah tanggungjawab kita semua. Saya berharap program ini dapat memberi manfaat dan membina masyarakat yang lebih selamat di alam maya". katanya.
Melalui penganjuran itu, UMT bukan sahaja mengukuhkan peranan akademiknya tetapi turut mencerminkan komitmen UMT untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja berpengetahuan tetapi juga bertanggungjawab dalam menangani cabaran dunia digital seterusnya menyumbang kepada masyarakat. - KitaReporters/UMT