Staf wanita sama penting! Program pemerkasaan USIM bagi kukuhkan peranan wanita, maruah keluarga!

Published by
KitaReporters

 


Sebagai sebuah negara yang sedang mengorak langkah ke arah kemajuan dan pembangunan masyarakat Madani, keterlibatan kaum wanita amat diperlukan dalam segala lapangan untuk terus bergerak maju dan bersama-sama berusaha dengan lebih keras lagi bagi meningkatkan daya saing dan pembangunan negara.

Dalam konteks di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), peranan staf wanita dalam aspek pentadbiran mahupun akademik tidak dapat dinafikan dan amat signifikan dalam menyumbang tenaga dan idea bagi memastikan tugas dan sasaran kerja Jabatan masing-masing berjalan lancar.

Justeru, bersempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa peringkat USIM, Jawatankuasa Pemerkasaan Wanita USIM telah menganjurkan ceramah bertajuk Wanita Dan Maruah Keluarga: Pelindung Atau Punca Masalah? yang dibarisi oleh beberapa panel terkemuka di Malaysia dengan penyertaan hampir 130 peserta dari pelbagai latar belakang bertempat di Dewan Kuliah Fakulti Ekonomi dan Muamalat pada 8 Mac 2024.



Yuhani Jamiran selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan Wanita USIM ketika ditemui berkata, kekuatan diri seorang wanita perlu diperkasakan melalui pelbagai cara bagi memastikan peranannya terus dapat dikendalikan dengan baik sama ada dalam keluarga, kerjaya dan masyarakat.

Justeru ujarnya lagi, program ini dianjurkan bagi melahirkan sokongan terhadap usaha untuk pemerkasaan wanita di dalam dan di luar USIM agar dapat memberi manfaat kepada semua peserta bagi memperkuat aspek emosi, mental, fizikal dan kerohanian dalam menghadapi cabaran kehidupan semasa.

Sementara itu, Nor Alizawati Ishak salah seorang peserta berkata, program yang dilaksanakan oleh Taskforce Pemerkasaan Wanita USIM ini secara tidak langsung telah memberi kesedaran kepada beliau dan wanita-wanita di luar sana.

“Program ini dapat memberi pemahaman untuk menambah baik segala kelemahan diri dalam menghadapi cabaran kehidupan yang lebih kompleks masa kini dan demi memperkasakan peranan dan fungsi wanita dalam keluarga, kerjaya dan masyarakat”, ujarnya lagi.

Panel jemputan adalah terdiri daripada ASP Chong Meei Chyi, Pegawai Turus DII Kontingen Negeri Sembilan; Dr. Nathratul Ayeshah Zulkifli, Pakar Psikiatri dan Pensyarah Fakulti Perubatan Sains Kesihatan USIM; Rosmawati Zainal Ketua Pegawai Eksekutif Raudatus Sakinah Selangor; dan Ustaz Muhamad Fitri Abdul Razak, Penolong Pendaftar Pusat Islam USIM. - KitaReporters/USIM

 

7
6
0
7
0

Copy Link: