Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Universiti Multimedia (MMU) dan Persatuan GSM (GSMA) menganjurkan Master Class CTPR (MCTPR) ke-8 untuk pakar-pakar telekomunikasi di rantau ASEAN dan Asia Pasifik di Jakarta.

Master Class berkenaan menghimpunkan pengawal selia, eksekutif telekomunikasi, dan penggubal dasar bagi memastikan terus golongan terlibat terus kekal di barisan hadapan dalam industri telekomunikasi yang berkembang pesat.

Menurut Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din, Pengerusi MCMC, Master Class CTPR ini memberikan peluang kepada peserta untuk meneroka perspektif global mengenai isu dasar dan peraturan telekomunikasi.

“Dalam pelaksanaan edisi kelapan Master Class CTPR, MCMC berbangga untuk meneruskan kerjasama dengan MMU dan GSMA. Komitmen kami untuk memajukan inovasi dan kerjasama dalam industri kekal teguh, dan kami amat menantikan kemajuan transformatif yang akan dihasilkan daripada perbincangan tahun ini,” katanya dalam kenyataan media di Kuala Lumpur.

Program yang dianjurkan pada 12 hingga 16 Ogos 2024 itu adalah dengan kerjasama XL Axiata dan Universiti Telkom Indonesia. 

Presiden MMU, Prof. Dato’ Dr. Mazliham Mohd Su’ud, berkata; “Telekomunikasi merupakan sebuah bidang yang mempunyai kesan global yang besar, dan ia memerlukan kemahiran dan pengetahuan yang pelbagai melangkaui pendidikan di bilik kuliah. 

“Master Class ini menyediakan platform penting bagi profesional industri untuk berkongsi pandangan, belajar, dan terlibat untuk memperoleh pengalaman berharga dalam landskap telekomunikasi yang berkembang pesat,” jelasnya.

Sejak dimulakan penganjurannya pada tahun 2015, Master Class CTPR ini mencakupi pelbagai modul termasuk perspektif baharu dalam dasar dan peraturan, pengurusan spektrum, tadbir urus internet, keselamatan rangkaian dan forensik, hak harta intelek, strategi perniagaan untuk industri telekomunikasi, AI, analitik data besar, arah baharu dalam perkhidmatan digital, dan industri kandungan kreatif. 

Modul-modul ini dibimbing oleh pakar industri tempatan dan antarabangsa serta pakar subjek dari MMU, MCMC, dan GSMA.

Edisi Master Class CTPR tahun ini (2024) mendapat sokongan padu daripada Kementerian Komunikasi dan Informatika Indonesia (Kominfo) bagi memastikan kelancaran pelaksanaan program ini. 

Fokus tahun ini (2024) adalah pada lima modul utama iaitu Dasar & Peraturan; Pengurusan Spektrum; Teknologi Muncul dan Keselamatan Rangkaian; Perniagaan Digital Disruptif dan Ekonomi; serta Alam Sekitar, Masyarakat, dan Tadbir Urus.



Sementara itu, Julian Gorman, Ketua Asia Pasifik, GSMA, berkata: “Di rantau Asia-Pasifik, terdapat keperluan mendesak untuk dasar dan peraturan yang selaras dengan amalan terbaik global untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan dan inovasi yang pesat. "

"Program Master Class ini mengukuhkan nilai apabila sektor awam dan swasta bekerjasama dengan akademia untuk membangunkan latihan yang benar-benar memenuhi keperluan ahli pengawalseliaan profesional yang bekerja dalam sektor telekomunikasi. Para profesional ini akan memainkan peranan penting dalam membina negara digital yang mampan dan inklusif di seluruh rantau ini.”

Master Class CTPR (MCTPR) ini merupakan program penting dalam membentuk masa depan sektor telekomunikasi, dan menjadi platform utama untuk memacu pertumbuhan industri, memperbaiki amalan regulatori, dan membina masa depan yang mampan. 

Para peserta program ini berada dalam posisi untuk memimpin inovasi dan mengharungi sebarang cabaran dalam sektor yang berkembang pesat ini. Program ini bukan sahaja mengeratkan semangat kerjasama yang diperlukan untuk kemajuan, tetapi juga menyediakan asas untuk kemajuan transformatif yang akan memacu masa depan bidang telekomunikasi. - KitaReporters/MMU

14
10
0
14
0

Copy Link: