Dr Md Amin Md Taff (lima dari kiri) menerima lukisan pada sesi simbolik penyerahan lukisan bersempena program Pameran 'Sustainability International Art Exhibition' anjuran Institut Peradaban Melayu (IPM), UPSI di Galeri Seni, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah. 


PAMERAN 'Sustainability International Art Exhibition' anjuran Institut Peradaban Melayu (IPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, bersama Asian International Art Stream (AiAS) bukan sahaja menunjukkan komitmen universiti dalam bidang seni, tetapi juga membuka pintu kepada persepsi baharu terhadap kreativiti dan kelestarian.

Dengan menampilkan karya-karya unggul dari pelbagai negara termasuk Brunei, Jepun, Indonesia, India, Malaysia, Mauritius, Filipina, Singapura dan Vietnam, pameran itu bukan setakat menjadi medan untuk memperluas wawasan seni masyarakat setempat, tetapi juga memperlihat kepelbagaian budaya dan kreativiti yang ada di sekitar rantau ASEAN. 

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata UPSI meneruskan peranannya sebagai pusat pembelajaran seni yang berprestij dengan menyediakan platform kepada pelukis terkemuka dari pelbagai negara.

Menurutnya, dengan adanya kerjasama strategik dengan AiAS, UPSI turut memperkukuh kedudukannya sebagai institusi pendidikan yang mementingkan perkembangan seni dan budaya pada peringkat global.


Dr Md Amin (kiri) bersama tetamu jemputan menunjukkan isyarat bagus selepas majlis perasmian program pameran itu.


Berucap merasmikan pameran itu, Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid, menganggap program berkenaan memberi pengiktirafan terhadap peranan penting seni dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keindahan alam dan kepelbagaian budaya. 

Jelas beliau, perkara itu mencerminkan betapa pentingnya pendidikan seni halus dalam membentuk identiti dan pemikiran kreatif masyarakat secara keseluruhan.

“Dengan menggalakkan penanaman cinta terhadap seni dan penghargaan kepada ekspresi kreatif, pameran ini tidak hanya memberi impak positif kepada visibiliti UPSI sebagai institusi pendidikan yang berprestij, tetapi juga mengukuhkan filosofi kreatif dalam kalangan masyarakat apabila semakin menghargai keunikan dan keindahan dalam seni,” ujarnya pada majlis pameran tersebut pada 12 Februari 2024.

Hadir sama pada majlis itu, Orang Besar Jajahan Muallim, Toh Paduka Setia, Dato’ Ir Dr Safry Kamal Ahmad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang, Salina Samsudin. 


 

Sesi dialog  bersama artis pelukis di Auditorium Utama, Perpustakaan Tuanku Bainun, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.


Sempena pameran berkenaan yang akan berlangsung sehingga 5 Mac 2024 itu, 10 pelukis jemputan yang hadir menghadiahkan 50  lukisan dengan penjanaan dalam bentuk aset karya bernilai RM250,000 untuk UPSI.

Sementara itu,  Pengarah Institut Peradaban Melayu (IPM), Prof Dr Tajul Shuhaizam Said, berkata  pameran berkumpulan dengan tema 'Sustain & Ability' selama sebulan di UPSI itu turut membabitkan program melukis di Ulu Slim.

"Program ini akan memberikan pengalaman visual baharu kepada pelukis mengenai keindahan flora dan fauna di DUN Behrang, yang kaya dengan diversiti serta akan diabadikan dalam karya setiap pelukis, " katanya.

Tambah beliau pameran itu juga bertepatan serta selari dengan sambutan Tahun Melawat Perak 2024 yang akan mempromosikan Perak pada mata dunia. - KitaReporters


Artis melakukan aktiviti melukis keindahan alam di Laman Rindu, kawasan air terjun Ulu Slim.


Salina turut memperlihatkan bakat melukisnya di Laman Rindu, Ulu Slim.

12
10
0
10
0

Copy Link: