SERAMAI 300 penduduk Kampung Orang Asli Panchor, Rompin, Negeri Sembilan mendapat rawatan pemeriksaan kesihatan, dan juga rawatan pemeriksaan gigi bersempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) peringkat Negeri Sembilan yang berlangsung dari 7 hingga 9 Oktober 2022 lalu di sekitar Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan. 

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) meluaskan jangkauan khidmat komunitinya melalui penglibatan 40 staf dan pelajar Fakulti Pergigian dengan menjalankan rawatan ini dari rumah ke rumah

Pelbagai aktiviti menarik lain yang diadakan seperti permainan mini sukaneka, pertandingan mewarna, sumbangan kit oral dan home visit.

USIM turut menyumbangkan 6 buah kerusi roda, serta mengadakan lawatan ke lapan rumah pesakit Orang Kurang Upaya (OKU) dengan menjalankan pemeriksaan kesihatan dan menyumbang lampin pakai buang dan susu nutrien kepada mereka.

Lagi cerita-cerita menarik berkaitan program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM)


John Baharyn ketua masyarakat Kampung Orang Asli Panchor berkata, program komuniti sejahtera yang diadakan sempena JAKM ini wajar diluaskan ke kampung-kampung lain yang berdekatan kerana ramai penduduk mendapat manfaat yang baik dengan penganjuran program sebegini. 

Beliau turut mengucapkan terima kasih kerana telah memilih perkampungan ini sebagai lokasi jelajah komuniti prihatin.

"Sesuai dengan hasrat 'USIM Cemerlang USIM Disayang', pihak USIM begitu berbesar hati dapat terlibat dalam menyumbang kepakaran dan pengetahuan kepada masyarakat setempat

"Diharapkan, dengan sumbangan ini, USIM mendapat tempat di hati masyarakat dan program-program sebegini diteruskan pada masa-masa akan datang,” ujar Naib Canselor USIM, Profesor Ts. Dr. Sharifudin Md. Shaarani yang turut hadir dalam lawatan tersebut.

Hadir sama dalam lawatan ialah Pendaftar USIM, Dato' Muhammad Haizuan Rozali; Dekan Fakulti Pergigian USIM, Dr. Ainudin Yushar Yusof; serta Ahmad Muzaffar Ahmad Bakri, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Governan IPTA, Jabatan Pengajian Tinggi (JPT).



Sementara itu seramai 25 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat setempat termasuk usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) B40 dari kalangan komuniti orang Asli, usahawan bekas pelajar dan tenaga pengajar Giat Mara sekitar negeri Sembilan mengambil peluang mengikuti program Latihan Keusahawanan Pelancongan digital produk pelancongan berteraskan komuniti (CBT) bersempena Program JAKM yang berlangsung di Bandar Seri Jempol.

Para peserta didedahkan dengan 14 modul yang berkaitan dengan pelancongan komuniti dan digital oleh tenaga pengajar daripada pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) dan Fakulti Sains dan Teknologi (FST) USIM.

Menurut Pengarah Projek, Dr. Nurul Nadirah Abu Hasan, program ini adalah bertujuan untuk memberi pendedahan kepada golongan usahawan IKS B40 di sekitar Negeri Sembilan khususnya warga Jempol kepada kemahiran pengurusan dan pemasaran produk pelancongan berasaskan komuniti secara digital. 

Selain untuk memberi gambaran peluang dan ruang peniagaan di dalam bidang pelancongan terutama pelancongan berasaskan komuniti.



Dr. Nadirah menambah lagi, berbeza dengan program-program yang pernah ditawarkan sebelum ini, menariknya program kali ini para peserta yang terlibat akan diberi latihan berterusan walaupun selepas tamat program ini.  

Ini bertujuan bagi memastikan peserta yang dilatih mahir dan berkemampuan untuk menjana pendapatan mampan selain turut mampu membantu komuniti setempat selepas ini dengan kemahiran yang diberikan.

Program ini juga bertujuan untuk mengubah persepsi masyarakat terhadap peluang dan ruang kerjaya dalam bidang pelancongan terutama sekali pelancongan komuniti. 

"Selain untuk mengubah kesalahfahaman praktis dikalangan komuniti berkaitan pelancongan komuniti terutama sekali inap desa dan IKS”, ujarnya lagi.

Sementara itu, salah seorang usahawan muda berasal dari Senawang Muhammad Arif Daniel Khaidzir, 20, turut mengambil peluang untuk mengikuti program CBT bagi mengembangkan perniagaan beliau dalam bidang kimpalan.

Arief Daniel turut mengajak anak-anak muda di luar sana untuk memulakan perniagaan seawal usia muda dengan mengikuti program-program yang bermanfaat dan mendatangkan hasil. 

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada USIM dan Giat Mara Seremban atas peluang dan pengalaman yang dicurahkan dalam usaha untuk membantu menaiktaraf kehidupan beliau dan pelatih-pelatih yang lain. - KitaReporters/USIM


 

 

 

16
12
0
11
0

Copy Link: