FAKULTI Perubatan Veterinar (FPV) Universiti Putra Malaysia (UPM) menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-65 baru-baru ini dengan menganjurkan program rawatan kepada haiwan kesayangan staf golongan B40 menggunakan Tabung Kebajikan Haiwan.

Pada sambutan kemerdekaan yang ke-65, FPV membantu staf UPM yang tidak berkemampuan daripada golongan B40 menerima bantuan kesihatan haiwan bagi merawat haiwan kesayangan mereka di hospital veterinar UPM dengan sumbangan tabung yang dikumpulkan.  

Dekan FPV, Profesor Dr. Abdul Rahman Omar berkata, sambutan kemerdekaan kali ini sangat bermakna kerana FPV menganjurkan program membantu staf UPM dari golongan B40 merawat haiwan kesayangan.  



Dengan itu, FPV dapat mempromosikan Tabung Kebajikan Haiwan kepada semua orang untuk membantu pemilik haiwan kesayangan ini menjaga kebajikan haiwan mereka dengan memberi pemeriksaan kesihatan secara percuma.

Tabung Kebajikan Haiwan ini adalah kerjasama FPV dan Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) UPM yang telah berlangsung semenjak awal tahun 2022 telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM20,000, katanya.  

Seramai 24 orang penerima pakej kesihatan haiwan kesayangan secara percuma. Antara rawatan yang diberikan ialah vaksin, ubat cacing, vitamin dan ubat kutu



Pegawai Eksekutif Alumni UPM, Siti Nur Ain Feisal berkata, pakej kesihatan percuma yang diberikan oleh FPV kepadanya sangat meringankan beban yang membela 8 ekor kucing jalanan untuk mendapatkan rawatan kesihatan.

“Kami golongan B40 mampu memelihara kucing jalanan namun rawatan kesihatan tidak mampu diberikan kerana kosnya agak mahal. Saya sangat bersyukur kerana kucing saya mendapat rawatan untuk melihat prestasi kesihatannya.

“Program seperti ini julung kali dianjurkan dan ianya membantu kami yang memelihara haiwan kesayangan merawat kucing kesayangan buat pertama kali secara percuma,” katanya.


Turut hadir pada majlis ini penyanyi terkenal Faizal Tahir yang menyeru orang ramai untuk memberi sumbangan demi menjaga kebajikan haiwan kesayangan.

Pakej kesihatan haiwan kesayangan percuma bagi staf UPM golongan B40 ialah vaksin, ubat cacing, vitamin dan ubat kutu. - KitaReporters/UPM

9
15
0
14
0

Copy Link: