"Padi tak menjadi kali ini, risau tidak mampu bayarkan yuran pengajian anak," luah Rohimi Shariff, bapa kepada Nur Hidayah Rohimi yang merupakan bakal pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sidang akademik 2024/2025.

Menyedari cabaran yang dihadapi keluarga pelajar itu, UniMAP meneruskan tradisi Program Ziarah Kasih UniMAP dengan mengunjungi kediaman Nur Hidayah Rohimi di Jalan Kaki Bukit, Beseri, Perlis, dalam usaha menyantuni dan memberikan sokongan moral kepada keluarga pelajar.

Sementelah, kunjungan ini adalah salah satu langkah UniMAP mempamerkan keprihatinan terhadap pelajar yang memerlukan dalam memastikan mereka mendapat sokongan penuh dalam mengejar impian akademik.

Malah, Nur Hidayah yang telah menerima tawaran melanjutkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Mekanikal, UniMAP turut terpilih sebagai penerima Biasiswa Program Dermasiswa B40 TVET.

Bapanya, Rohimi berkongsi rasa syukur atas bantuan yang diberikan oleh UniMAP kerana ia secara tidak langsung  mengurangkan kerisauan dan bebanan mereka.

“Saya dan isteri pada awalnya agak risau memikirkan perbelanjaan yang diperlukan untuk menghantar anak kami melanjutkan pengajian kerana saya hanya bekerja sebagai petani sementara isteri adalah seorang suri rumah sepenuh masa.

“Tambahan pula, anak sulung kami merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) dan anak bongsu pula masih bersekolah.

"Dengan adanya biasiswa ini, saya yakin Nur Hidayah dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada pengajiannya. Terima kasih UniMAP kerana membantu meringankan beban kami," ujar Rohimi dengan rasa terharu.



Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Prof. Ts. Dr. Mohd Mustafa Al-Bakri Abdullah yang mewakili Naib Canselor UniMAP mengetuai rombongan UniMAP dalam ziarah tersebut menekankan bahawa UniMAP sentiasa komited dalam menjaga kebajikan para pelajarnya.

Katanya, UniMAP menyediakan pelbagai insentif kebajikan untuk memastikan pelajar tidak terbeban dengan masalah kewangan sepanjang pengajian.

"UniMAP sangat prihatin terhadap kebajikan pelajar dan kami sentiasa berusaha untuk memastikan pengajian mereka berjalan lancar. Kami percaya sokongan seperti ini penting untuk memberi keyakinan dan semangat kepada pelajar agar dapat mencapai kejayaan.

“Sebagai contoh, pemberian Biasiswa Program Dermasiswa B40 TVET adalah satu inisiatif penting bagi memberi peluang kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” kata Prof. Dr. Mohd Mustafa.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), Prof. Madya Ir. Dr. Mohd Arif Anuar Mohd Salleh, bersama pasukan daripada Unit Kebajikan & Pengangkutan, JHEP.

Dalam sesi ziarah tersebut, sumbangan 'Bakul Kasih' diserahkan kepada keluarga Nur Hidayah sebagai tanda sokongan dan keprihatinan UniMAP terhadap kebajikan pelajarnya.

UniMAP berharap Nur Hidayah Rohimi akan mencapai kecemerlangan dalam pengajiannya dan berjaya merealisasikan impian serta aspirasinya di UniMAP, sekaligus membuktikan bahawa setiap pelajar mempunyai peluang untuk berjaya walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran. - KitaReporters

 

15
11
0
11
0

Copy Link: