Kem Bestnya Baca al-Quran atau BBQ! Didik remaja berakhlak! Guna al-Quran tangani masalah sosial!
Published byKem BBQ mendidik peserta menggunakan al-Quran dengan harapan mereka membawa kitab suci itu sebagai cara hidup Islam.
MEDIA sosial dan teknologi bukan saja mewujudkan cara baharu manusia berinteraksi tapi mengubah persekitaran perkembangan anak-anak.
Pendedahan dengan gajet dan teknologi seperti telefon pintar, tablet dan komputer sejak usia bayi boleh mengundang pelbagai hal membimbangkan, bukan sahaja kepada masyarakat dan ibu bapa tapi kesan kepada perkembangan mental mereka.
Kajian mendapati penggunaan gajet menyebabkan kemerosotan kesihatan mental remaja sehingga wujud masalah seperti kemurungan dan keresahan kesihatan lain.Kemerosotan psikologi remaja meningkat selari dengan peningkatan penggunaan telefon pintar. Kebanyakan remaja tidur dengan telefon pintar di sisi dan menggunakannya sebagai jam loceng.
Peserta Kem BBQ diajar makan dalam talam sebagai mengikut sunah Nabi Muhammad SAW.
Makan mengikut sunah mengeratkan hubungan antara jemaah dan tidak membazir makanan.
Ini menyebabkan gangguan dan tidur mereka tidak nyenyak disebabkan lampu daripada skrin telefon. Kebanyakan mereka mendapat tidur kurang 8 jam.
Kekurangan tidur memberi kesan psikologi kepada remaja termasuk mudah marah, kemahiran sosial terjejas dan memori lemah. Malah, ia turut memberi kesan kepada pencapaian akademik, risiko diabetes, tekanan darah tinggi, penambahan berat badan dan kemurungan.
Penyelaras Program Kem BBQ, Rohaidah Timin, berkata gajet turut mewujudkan masalah lain seperti isu moral, adab dan tingkah laku yang biadab terutama ketika berhadapan golongan lebih dewasa.Sikap hormat-menghormati, kesopanan dan budi bahasa semakin terhakis sedangkan mereka inilah yang bakal menjadi tonggak kepimpinan negara serta membina masa depan lebih baik.
Rohaidah Timin
Beliau berkata, menyedari hal-hal seperti ini membuatkan mereka dari Pusat Pendidikan Dar Al Musthofa insaf dan menyedari sesuatu perlu dilakukan bagi menangani fenomena membimbangkan dan memastikan apa yang berlaku sekarang tidak menjadi wabak yang boleh memberi kesan kepada masyarakat dan negara.
"Ini adalah sumbangan kecil kami melalui program Kem BBQ (Bestnya Baca al-Quran) yang diadakan selama dua hari di Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi yang memberi fokus kepada peserta berusia tujuh hingga 14 tahun daripada terlalu ketagih kepada peranti atau gajet kepada melakukan perkara lebih berfaedah seperti membaca dan menghafal al-Quran."Al-Quran boleh menjadi panduan spiritual dan memiliki banyak manfaat bagi mendidik rohani dan minda. Ia mengandungi banyak nilai terpuji bagi membantu mendidik jiwa pelajar seperti kejujuran, keteladanan, kerja keras, kesabaran, kasih sayang dan pengampunan," katanya.Kerja dalam kumpulan memberi peluang peserta untuk bertukar pandangan selain mendidik mereka bekerjasama.
Pelbagai aktiviti diadakan sempena program dua hari itu, antaranya Smart Solat, Ice Breaking, memanah, hafazan, slot motivasi, sukaneka, cabaran robotik, sukaneka dan makan mengikut sunnah. Seramai 104 peserta mengambil bahagian yang datang dari Kajang, Putrajaya dan Bandar Baru Bangi.
Menurutnya, sambutan peserta memang baik kerana ibu bapa memang mencari program sesuai untuk mengisi masa cuti persekolahan anak mereka, daripada membiarkan mereka asyik dengan gajet dari pagi sehingga malam, lebih baik mengambil bahagian dalam Kem BBQ kerana mereka mendapat pelbagai ilmu dan menyertai aktiviti luar. "Program yang diatur sesuai dengan naluri mereka, selain mendidik mereka membaca al-Quran dan menghafal surah-surah pendek, kami juga membetulkan kesalahan ketika membaca surah dalam solat, memantau mereka ketika mengambil wuduk, solat yang betul dan tertib selain menyelitkan bacaan surah-surah lazim."Apabila penat mengikuti program dalam kelas, kami alihkan kebosanan mereka dengan aktiviti dalam kumpulan seperti motivasi, sukaneka, cabaran robotik dan memanah. Memang mereka suka dan tidak sabar kerana naluri kanak-kanak memang suka sesuatu yang baru," kata Rohaidah lagi.
Segmen robotik mencabar daya kreativiti dan minda peserta untuk memasang komponen yang terlerai menjadi robot yang bergerak.
Kem BBQ, katanya menyediakan fasi yang berpengalaman dan hafal al-Quran, selain memberi tip bagaimana teknik mudah untuk menghafal al-Quran.
Berdasarkan pemantauan, ramai dapat mengikuti pendekatan yang digunakan pengajar malah peserta berusia di antara tujuh hingga lapan tahun lebih bersemangat menghafal.
"Program yang kami adakan ini juga mahu menarik minat kanak-kanak datang ke masjid kerana apabila ditanya ada juga peserta yang tidak pernah datang ke masjid, mungkin ibu bapa tiada kesempatan membawa mereka.
"Jadi, apabila hadir di kem ini, mereka seronok melihat suasana masjid yang mempunyai pelbagai kemudahan selain dapat bersolat jemaah.
"Kami mahu memastikan keseronokan itu akan berterusan, mungkin selepas kem ini, mereka boleh hadir ke masjid bersama ibu bapa atau apabila dewasa sentiasa menjadikan rumah Allah ini tempat untuk melakukan ibadah seperti solat berjemaah dan mengikuti program-program keagamaan," katanya.
Memanah satu lagi aktiviti sunah yang mendapat sambutan dalam kalangan peserta Kem BBQ
Rohaidah gembira kerana program dua hari itu, sekurang-kurangnya peserta dapat melupakan seketika bermain peranti tapi menumpukan kepada pelbagai program berfaedah termasuk aktiviti luar yang disediakan. Ia sekurang-kurangnya membuktikan banyak mereka boleh lakukan tanpa gajet malah mereka juga tidak stres.
"Selain itu, kami turut memberi motivasi kepada mereka menggunakan telefon pintar untuk perkara-perkara yang berfaedah, elak menggunakan untuk menonton hal-hal yang merosakkan minda, jangan menjadi hamba gajet, menjaga adab, menghormati ibu bapa dan golongan lebih dewasa selain menjaga pertuturan.
"Melalui kaedah penceritaan, kami menasihatkan mereka usah terlalu menghabiskan masa melayari media sosial seperti Tik Tok atau Twitter untuk berhibur sebaliknya gunakan zaman kanak-kanak untuk bergaul dan mencari rakan sebanyak mungkin. Mereka juga perlu membezakan dunia maya dan dunia sebenar," katanya.
Peserta lelaki terbaik Kem BBQ, Muhammad Zulqarnain Muhammad Khusairie (kiri) menerima hadiah daripada Khalil Abd Jabar.
Ditanya maklum balas dalam kalangan peserta yang mengambil bahagian, beliau gembira kerana mereka mengikuti setiap aktiviti dengan baik sama ada dalam kelas atau di luar.
Malah, ramai dapat membaca dan menghafal surah-surah pendek yang diajar menggunakan teknik yang betul. Ini penting digunakan ketika bersolat.
"Pada awal program, kami dapat mengenal pasti ada peserta walaupun berusia 12 tahun tapi masih tidak tahu membaca Fatihah. Jika diikutkan memang tidak percaya tapi memberi motivasi supaya dia (peserta) tidak putus asa. Alhamdulillah, peserta itu akhirnya boleh membaca Fatihah.
"Saya akui kesibukan ibu bapa yang bekerja kadangkala mereka tiada masa untuk ambil tahu sama ada anak-anak boleh membaca al-Quran atau tidak, bersolat dengan betul, mengambil wuduk atau perkara-perkara yang tidak boleh dilakukan ketika solat.
"Kita akur ibu bapa kerja dari pagi hingga malam untuk mencari rezeki bagi menyara keluarga apatah lagi kehidupan yang penuh cabaran masa kini menuntut mereka melakukan apa saja tapi mereka juga perlu ada masa untuk anak-anak kerana kekurangan kasih sayang menjadikan anak-anak melakukan sesuatu tanpa berpandukan akal," katanya.
Peserta perempuan terbaik Kem BBQ, Irsa Nur Medina Mohd Fauzreen (kanan) menerima hadiah daripada Khalil Abd Jabar.
Rohaidah mengakui, masalah sosial membabitkan keluarga agak membimbangkan dan sesuatu perlu dilakukan bagi menangani gejala tidak sihat ini agak perkembangan sedia ada tidak menjadi parah sehingga menjadikan anak-anak sebagai mangsa.
"Kem BBQ selama dua hari memang singkat kerana proses pembelajaran secara tidak formal ini mengambil masa lama tapi kami berharap hasil daripada asuhan di sini dapat digunakan peserta untuk menentukan haluan yang betul, mengurangkan ketagihan gajet dan lebih banyak berkawan di alam nyata dari alam maya," ujarnya.
Khalil Abd Jabar
Sementara itu, Setiausaha Masjid Al-Hasanah, Khalil Abd Jabar yakin ilmu yang dipelajari peserta dapat menjadikan mereka lebih kuat dan matang bagi menghadapi pelbagai cabaran selepas ini terutama hal-hal berkaitan gajet selain meneruskan keseronokan hadir di masjid, rajin melakukan solat dan membaca al-Quran.
"Saya berharap program seperti ini dapat diadakan setiap tahun bagi memberi peluang peserta mengisi cuti persekolahan mereka dengan aktiviti berfaedah dan tidak membosankan.
"Masjid Al-Hasanah sentiasa memberi kerjasama kepada mana-mana pihak yang berminat untuk menganjurkan program seperti ini," katanya. - KitaReporters