Eratkan Hubungan, Jalinkan Kemesraan! Usaha Kolej Harun Aminurrashid UPSI santuni Sekolah Tunas Bakti!
Published byOleh MUHAMMAD FATKHURROZAK SOKHIPUL HADI
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) telah mengadakan Program “Eratkan Hubungan, Jalinkan Kemesraan” di Sekolah Tunas Bakti, Taiping, Perak.
Pengarah program, Anwarul Syahmi Ismail menyatakan seramai 40 orang mahasiswa UPSI terlibat dalam sesi ramah mesra bersama pelajar tunas bakti.
“Program ini bertujuan untuk meningkatkan tahap literasi dan motivasi pelajar baik dari segi pembelajaran akademik mahupun pembinaan sahsiah dan etika.
“Nilai-nilai kesukarelawanan dan sahsiah didedahkan kepada pelajar bagi memperkasakan kemahiran kepimpinan, sosial serta rasa tanggungjawab dalam kalangan pelajar,” katanya.
Antara aktiviti yang dijalankan adalah sesi ramah mesra, slot motivasi dan aktiviti explorace.
Tidak itu sahaja, aktiviti mencating batik bersama juga diadakan yang dibimbing langsung oleh pemilik Tanuntaya Enterprise, Bismi Intanti Abu Bakar.
Turut hadir Amirol Hussainy selaku Timbalan Pengetua Sekolah Tunas Bakti Taiping, Perak.
Menurut Amirol, program ini membantu meningkatkan motivasi diri dalam kalangan pelajar yang pernah terlibat dengan kesalahan jenayah dan membina sikap positif, membentuk peribadi yang kukuh dan melengkapkan diri dengan keterampilan bagi membolehkan mereka hidup berdikari dalam masyarakat.
Tambahnya lagi, program sebegini memberi nilai tambah baru kepada pelajar-pelajar tunas bakti untuk membina jati diri yang lebih unggul dan daya fikir yang kreatif.
Sementara itu, Dr Che Anuar Che Abdullah, Pengetua Kolej Harun Aminurrashid berkata bahawa UPSI akan sentiasa menyokong program kemanusiaan kerana ini dapat melatih mahasiswa untuk lebih bertanggungjawab sosial dengan memupuk semangat kesukarelawan dalam membantu masyarakat.
“Program ini adalah pendedahan kepada mahasiswa untuk lebih banyak membantu masyarakat dan bergiat aktif dalam aktiviti sukarelawan.
"Diharapkan kami dapat membantu pelajar di Tunas Bakti memahami norma-norma sosial yang diterima, memperbaiki kemahiran komunikasi dan memperkasa keyakinan diri dalam membuat setiap tindakan.
"Aktiviti sokongan yang dilakukan juga membantu mengatasi masalah perilaku dan memberi satu semangat baharu untuk membina karakter yang lebih positif,” katanya.
Felo Penasihat Program, Norrulkamari Daud yang juga Yang Dipertua Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid UPSI mengharapkan setiap mahasiswa dapat memanfaatkan peluang dan ruang dalam penglibatan penganjuran program seperti ini kerana ia bukan sahaja membuka minda bahkan memberikan satu lonjakan paradigma kepada mereka khususnya bakal guru dalam menjadi pendidik yang berdaya saing dan berketrampilan.
“Sempena hari guru, kami membawa sebuah warna baru dalam mendalami maksud guru dalam jiwa kami.
"Sebagai bakal guru, kami akan sentiasa membawa nilai positif dalam membantu masyarakat melestarikan budaya cemerlang dan memastikan sama berganding bahu menyumbang bakti menjadi ejen perubahan dalam menyokong aspirasi negara,” ujarnya lagi. - KitaReporters