Universiti Multimedia (MMU) muncul sebagai institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan yang pertama menawarkan program Ijazah Sarjana Dasar dan Peraturan Telekomunikasi Tertumpu (MCTPR).

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MMU, Prof Datuk Dr Mazliham Mohd Su’ud berkata, ia merupakan program khusus bagi profesional dan eksekutif kanan dalam mengembangkan pengetahuan mereka dalam pelbagai disiplin.

“CTPR (Converged Telecommunications Policy and Regulations) merupakan program jangka pendek yang memberi kelebihan tersendiri kepada para pesertanya.

“Ia membolehkan peserta-peserta beroleh kelayakan lepasan ijazah dengan menggunakan fasiliti APEL-C,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran program Master Class Dasar dan Peraturan Telekomunikasi Tertumpu (MCTPR) 2023 di Hotel Zenith Putrajaya.



Mazliham menjelaskan, APEL-C adalah penganugerahan kredit untuk pembelajaran terdahulu, sama ada secara formal atau tidak formal’ terhadap kursus dalam program yang diakreditasi di bawah penyedia pendidikan tinggi. 

Beliau memberitahu, APEL-C mengiktiraf pembelajaran terdahulu yang relevan dan spesifik dengan kursus yang ditawarkan dalam program selama 5 hari itu.

“Topik-topik di bawah Master Class CTPR dapat dilihat dalam modul MCTPR,” katanya.

Beliau menambah, kadar yuran adalah berpatutan dan peserta-peserta Master Class CTPR adalah digalakkan meneruskan usaha mereka dengan mengikuti program MCTPR. 

Program Master Class Dasar dan Peraturan Telekomunikasi Tertumpu (MCTPR) 2023 dianjurkan dengan kerjasama Global System for Mobile Communications Association (GSMA) of London dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

Ia disertai lebih 60 peserta yang terdiri daripada para pemain taruh dan pegawai-pegawai dalam bidang industri telekomunikasi.

Program selama lima hari itu dirasmikan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang diwakili Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa. 

Majlis perasmian itu turut dihadiri Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din, Pengerusi MCMC; dan Penasihat CTPR Master Class 2023, Tan Sri Dr. Halim Shafie, serta Pengarah Kanan Hal Ehwal Kerajaan dan Kawal Selia, GSMA London, Niall Magennis. - KitaReporters/MMU


12
14
0
10
0

Copy Link: