MMU akan perkaya kurikulumnya dengan AI! Bakal lancar Fakulti Kecerdasan Buatan dan Kejuruteraan!
Published byUniversiti Multimedia (MMU) bakal melancarkan Fakulti Kecerdasan Buatan dan Kejuruteraan (FAIE) sebagai sebahagian daripada komitmennya dalam memajukan pendidikan dan penyelidikan kecerdasan buatan (AI) bagi memenuhi permintaan ekonomi digital yang berkembang pesat.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MMU, Prof. Dato’ Dr. Mazliham Mohd Su’ud, berkata transformasi ini adalah langkah strategik bagi memastikan MMU terus unggul dalam bidang AI dan kejuruteraan.
“AI sedang merevolusikan kehidupan kita, dan kami mahu pelajar berada di tengah-tengah perubahan ini,” katanya dalam Majlis Berbuka Puasa MMU Bersama Media di Hotel Mercure Living Putrajaya.
AI gunaan melibatkan penggunaan teknologi seperti pembelajaran mesin dan automasi untuk menyelesaikan masalah dunia nyata, termasuk dalam penjagaan kesihatan pintar, kenderaan autonomi, dan pertanian pintar.
FAIE akan memperkenalkan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) AI Gunaan, program tiga tahun sepenuh masa yang akan bermula pada pengambilan Julai 2025.
FAIE ditubuhkan bagi menggantikan Fakulti Kejuruteraan (FOE). Semua program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan di bawah FAIE, termasuk Kejuruteraan Elektrik, Elektronik, Telekomunikasi dan Komputer, akan diperkukuhkan dengan komponen AI bagi membekalkan pelajar dengan kemahiran teknologi terkini yang relevan dengan industri.
FAIE juga akan dilengkapi dengan makmal berteknologi tinggi bagi menyokong penyelidikan dan inovasi AI, menjadikannya hab utama untuk kolaborasi antara akademia dan industri. Pelancaran rasmi fakulti ini dijadualkan pada pertengahan 2025.
Selain itu, MMU turut memperkaya kurikulumnya dengan AI dalam program lain seperti Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kepujian) (Kecerdasan Buatan) dan Sarjana Teknologi Maklumat (AI & Keselamatan Siber) di bawah Fakulti Sains dan Teknologi Maklumat (FIST), serta Sarjana Sains Komputer (ODL) di Fakulti Pengkomputeran dan Informatik (FCI).
Majlis Berbuka Puasa MMU Bersama Media 2025 turut menjadi platform untuk MMU menghargai sumbangan media dan mengemas kini perkembangan terkini, termasuk bantuan kewangan, biasiswa, serta pengambilan pelajar bagi sesi Mac/April 2025. - KitaReporters/MMU