Sebuah kelas di sekolah integriti kendalian Jabatan Penjara Malaysia. - Kredit foto: Bernama


SELAIN menguat kuasa hukuman dan melaksana perintah mahkamah terhadap banduan hingga dibebaskan, Jabatan Penjara Malaysia menyediakan peluang pendidikan akademik yang dikenali sebagai Pendidikan Korektif bagi penghuninya untuk meneruskan pembelajaran dalam penjara

Penubuhan Sekolah Integriti misalnya, telah menempatkan banduan muda yang menjalani hukuman di penjara di bawah perintah mahkamah selain dari Mahkamah Juvana.

Menurut Pengarah Penjara Kluang, Mohd Roslen Ramli berkata, Sekolah integriti telah berdiri sebagai salah sebuah tunjang pendidikan di penjara disediakan kepada penghuni yang berumur antara 15 sehingga 21 tahun.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan banduan

Banduan muda menduduki ujian peperiksaan awam. - Kredit foto: The New Straits Times


“Bermula sejak tahun 2008 terdapat 8 buah sekolah telah ditubuhkan bagi memberi peluang kedua kepada banduan muda memperbaiki diri dalam aspek akademik, kokurikulum dan sahsiah diri di seluruh Malaysia. 

"Penyediaan Pendidikan Korektif kepada penghuni bukan sahaja memastikan tahap pendidikan mereka diperluaskan malah memastikan mereka menikmati pemulihan bersepadu dan menghadiri pendidikan formal bagi menguasai kemahiran asas menulis, membaca dan mengira serta menduduki peperiksaan awam seperti Sijil Pendidikan Malaysia (SPM). ” jelasnya.

Melihatkan keperluan ke arah melestarikan pendidikan kebangsaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di bawah Program EmpowerNCER Akademik menerusi Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) tampil memberi sumbangan modul Asas Membaca, Menulis dan Mengira kepada (3M) untuk kegunaan penghuni sekolah tersebut dalam menguasai kemahiran asas pembelajaran dan persediaan menghadapi SPM 2021.


Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff


Menurut Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, sebagai Universiti Pendidikan No 1 negara, UPSI sentiasa cakna merealisasikan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM) menerusi agenda Memasyarakatkan Universiti (U4S) dan Agenda 4 dalam memacu kesejahteraan komuniti dengan menggiatkan sumbangan berbentuk "beyond academics" (melampau akademik) kepada komuniti yang berkonsepkan educating communities (mendidik masyarakat).

“Sumbangan modul 3M yang dibangunkan oleh UPSI diharapkan dapat membantu guru-guru di Sekolah Integriti Kluang meningkatkan kualiti pendidikan tahanan dalam menguasai kemahiran 3M serta membantu calon SPM 2021 dalam mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah.

Diharapkan dengan inisiatif ini secara tidak langsung membantu pelajar mendapatkan ilmu menggunakan bahan rujukan terbaik melalui program pendidikan sejajar dengan dasar pendemokrasian pendidikan serta mengelakkan banduan muda tercicir dalam bidang pelajaran,” jelasnya dalam suatu kenyataan baru-baru ini.


Norkhalid Salimin (kanan) menyerahkan modul asas 3M dan buku latihan mata pelajaran teras untuk kegunaan banduan muda calon SPM kepada Pengarah Penjara Kluang Mohd Roslen Ramli.

Sebanyak 60 naskah buku Modul Asas Membaca, Menulis dan Mengira; 80 naskah buku Modul Latihan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik Sekolah Rendah; serta 50 naskah buku SPM bagi 5 mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah diserahkan kepada Penjara Kluang di Kuang pada 6 November 2021.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPSI, Profesor Madya Dr Norkhalid Salimin yang juga penyelaras utama Program EmpowerNCER Akademik @Perak berkata, pembangunan modul-modul 3M terdiri daripada 15 orang Ikon Alumni UPSI yang berpengalaman serta dalam kalangannya pernah dinobat sebagai Guru Cemerlang. 

Selain itu penyelidik-penyelidik ini merupakan Guru penggubal soalan SPM dan Guru Didik TV Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menjadi pakar rujuk pendidikan di Malaysia.

“Modul yang digunakan merupakan modul sama diterapkan untuk meningkatkan pencapaian pendidikan kemahiran 3M murid sekolah orang asli di 15 buah sekolah terpilih seluruh negeri Perak. Bukan itu sahaja, program ini juga melibatkan 1400 murid SPM di 22 buah sekolah menengah di Perak bagi tahun 2021. ” jelasnya lanjut. - KitaReporters


11
15
0
9
0

Copy Link: